Persidangan DUN: 4 IPG, 16 Institusi Pendidikan Awam negeri beroperasi di Sabah

Persidangan DUN: 4 IPG, 16 Institusi Pendidikan Awam negeri beroperasi di Sabah

Kota Kinabalu: Terdapat empat buah Maktab Perguruan yang beroperasi di Sabah pada ketika ini, kata Pembantu Menteri di Kementerian Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan, Datuk Fairuz Renddan.

Menurut beliau, jumlah itu melibatkan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya di Kota Kinabalu, IPG Kampus Kent di Tuaran, IPG Kampus Keningau di Keningau IPG Kampus Tawau di Tawau.

Manakala, beliau berkata, bagi Institusi Pendidikan Awam Negeri yang beroperasi di Sabah ketika ini adalah sebanyak 16 buah yang melibatkan universiti awam, kolej komuniti dan politeknik.

“Bagi Universiti Awam ia terdiri daripada Universiti Malaysia Sabah Kampus Kota Kinabalu, Universiti Malaysia Sabah Kampus Tawau, Universiti Malaysia Sabah Kampus Labuan, Universiti Teknologi MARA (UITM) Kampus Kota Kinabalu dan Universiti Teknologi MARA (UITM) Kampus Tawau.

“Manakala bagi kolej komuniti terdiri daripada Kolej Komuniti Tawau, Kolej Komuniti Sempoma, Kolej Komuniti Lahad Datu, Kolej Komuniti Sandakan, Kolej Komuniti Tambunan, Kolej Komuniti Beaufort, Kolej Komuniti Penampang, dan Kolej Komuniti Kota Marudu.

“Bagi Politeknik pula terdiri daripada Politeknik Kota Kinabalu, Politeknik Tawau, dan Politeknik Sandakan,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan Mohammad Mohamarin (WARISAN – Banggi) mengenai bilangan Maktab Perguruan yang beroperasi serta bilangan institusi pendidikan awam negeri di Sabah ketika ini.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan daripada Mohammad, mengenai perancangan kementerian untuk berkolaboratif dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) atau Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) bagi menyelaraskan kaedah mengatasi masalah kekurangan guru di Sabah, beliau berkata ia masih dalam perancangan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|