Persidangan DUN: 15,554 belia Sabah dapat kerja tahun ini

Persidangan DUN: 15,554 belia Sabah dapat kerja tahun ini

Kota Kinabalu: Seramai 15,554 orang belia di Sabah mendapat pekerjaan melalui pelbagai program dan inisiatif di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI) setakat November tahun ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Yakub Khan, berkata jumlah itu termasuk belia yang mendapat pekerjaan melalui program yang dilaksanakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Sabah.

“Secara keseluruhan seramai 15,554 orang belia mendapat pekerjaan melalui pelbagai program dan inisiatif KSTI dan PERKESO bagi 2022 setakat ini,” katanya pada sesi soal jawab Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Dumi Pg Masdal (WARISAN – Silam) mengenai langkah kerajaan negeri mengatasi masalah pengangguran dalam kalangan lepasan sekolah.

Yakub berkata, melalui kementeriannya beberapa inisiatif dilaksanakan bagi membantu lepasan sekolah dan belia mendapatkan kerja, antaranya melalui Sabah Talent Entrepreneurship Programme (STEP) di bawah Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) Sabah.

“Setakat ini tiga program STEP
yang disertai 60 orang lepasan sekolah dan belia Sabah dilaksanakan. Program ini bertujuan melahirkan usahawan belia yang dapat mencipta lebih banyak peluang pekerjaan yang baharu.

“Ini secara tidak langsung akan mengurangkan kebergantungan belia terhadap pekerjaan sektor kerajaan dan swasta.

“Selain itu, KSTI juga melaksanakan program Pitchborneo (Program mencungkil usahawan berasaskan teknologi) dan kita berjaya melahirkan seramai 1,300 orang usahawan sehingga kini dengan 112 orang turut menerima sumbangan untuk mengembangkan idea dan produk mereka berjumlah RM20,000 bagi setiap syarikat,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau berkata kementeriannya menawarkan 15 jenis kursus dan latihan teknikal, vokasional dan kejuruteraan (TVET) melalui JPSM kepada pelajar lepasan sekolah yang tidak berpeluang melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi.

Katanya, latihan di Institut Latihan Teknik dan Perdagangan (ILTP) di bawah JPSM itu membolehkan pelatih menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Kemahiran JPSM, Petronas dan Suruhanjaya Tenaga.

Beliau berkata, KSTI turut melaksanakan kursus latihan jangka panjang dan Hospitality Engagement Learning Programme (HELP) dengan rangkaian hotel lima bintang terpilih.

Sementara itu, katanya di bawah PERKESO, sebanyak 11 siri Jelajah Karnival Kerjaya dilaksanakan di seluruh
Sabah setakat ini dengan seramai 1,390 orang berjaya ditawarkan pekerjaan, selain dya siri temuduga di bawah JPSM Sabah dengan 16 orang berjaya mendapat pekerjaan.

“Peluang pekerjaan juga ditawarkan melalui Sabah Jobs Portal (JPSM) dan MyFutureJobs (PERKESO) sebagai platform pencarian kerja.

“Sehingga kini, seramai 4,634 pencari kerja dan 170 majikan berdaftar di Sabah Jobs Portal, manakala sebanyak 84,078 jawatan kosong diiklankan daripada 6,712 majikan melalui portal MyFutureJobs,” katanya.

Yakub berkata, kementeriannya turut melaksanakan program Upskilling for Deeptech and Futureskills melalui Sabah Skills Training Centre (SSTC) dengan seramai 533 orang peserta berjaya mendapat pekerjaan.

Katanya, program ‘upskilling’ atau peningkatan kemahiran dan literasi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) juga dilaksanakan melalui AMC College membabitkan seramai 33,198 orang belia berjaya dilatih sepanjang tahun ini melalui 149 kursus.

“Kita juga melaksanakan kursus kemahiran keusahawanan jangka pendek di semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan sebanyak 147 kursus dilaksanakan membabitkan 3,082 orang peserta setakat ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|