Persidangan DUN: RM1.79 bilion kutipan cukai jualan produk petroleum

Persidangan DUN: RM1.79 bilion kutipan cukai jualan produk petroleum

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri mengutip sebanyak RM1.79 bilion cukai jualan negeri (CJN) bagi produk petroleum yang dikeluarkan di negeri ini antara Januari lalu hingga 28 November.

Menteri Kewangan II negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata jumlah itu melebihi sasaran kutipan yang dianggarkan sebelum ini, iaitu RM1.1 bilion.

Beliau berkata, sasaran awal itu berdasarkan harga minyak USD53 setong di pasaran antarabangsa, namun peningkatan harga minyak sepanjang tahun ini membolehkan kutipan CJN turut meningkat.

“Sukacita dimaklumkan bahawa hasil CJN petroleum yang dikutip kerajaan negeri lebih tinggi daripada apa yang kita kita jangka dan anggarkan.

“Setakat 28 November, iaitu kelmarin sebanyak RM1.79 bilion hasil CJN petroleum berjaya dikutip,” katanya pada sesi soal jawab Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Yong Teck Lee (ADUN Dilantik) mengenai jumlah CJN yang dianggarkan pada tahun ini bagi sektor minyak dan gas di Sabah.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Datuk Dr Yusof Yacob (BN – Sindumin) mengenai perbezaan CJN dikutip di Sabah dengan Sarawak, Masidi berkata kutipan dibuat Sarawak lebih tinggi berikutan aktiviti hiliran minyak dan gas yang lebih banyak di negeri itu.

“Sarawak lebih ke hadapan dalam industri hiliran minyak dan gas, sebab itu mereka dapat mengutip cukai yang lebih tinggi.

“Kitapun dalam usaha untuk meluaskan kutipan CJN termasuk produk urea dan ammonia untuk menambahkan lagi kutipan CJN Sabah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|