Persidangan DUN: KPLB bangunkan Pusat Kemahiran Rakyat

Persidangan DUN: KPLB bangunkan Pusat Kemahiran Rakyat

Kota Kinabalu: Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah (KPLBS) merancang pelbagai program dan aktiviti bagi membantu rakyat keluar daripada status miskin dan miskin tegar.

Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar, Harun Durabi berkata, menerusi program Pembangunan Usahawan Luar Bandar, pihaknya telah membina lima Pusat Kemahiran Masyarakat.

“Pusat ini berfungsi sebagai pusat pembangunan dan latihan keusahawanan bagi membantu meningkatkan potensi kemahiran golongan miskin atau miskin tegar. Ia menyediakan kursus kemahiran dan latihan amali serta praktikal kepada golongan sasar.

“Selain itu, terdapat pembinaan lapan Pusat Keusahawanan Desa (PKD) yang dilengkapi dengan bangunan bengkel dan peralatan mesin.

“Ia bertujuan untuk memberi peluang kepada kelompok usahawan bimbingan KPLBS meningkatkan pengeluaran produk dan mengembangkan perniagaan mereka.

“Contohnya, di bawah PKD Kudat yang terdiri dari Bengkel Pemprosesan Kosmetik, Bengkel Pemproses Kek, Bengkel Pembuatan Mee Basah, Bengkel Pembuatan Cokelat dan Bengkel Canting Batik,” katanya pada sesi soal jawab Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Anwar Ayuub @ Annuar Ayub (STAR-Liawan) mengenai program yang telah dirancang bagi membantu rakyat keluar daripada status miskin dan miskin tegar yang kian meningkat.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa, pihaknya telah memperkenalkan program keusahawanan berasaskan pertanian dan program penternakan burung walit secara bersasar mengikut keperluan dan kesesuaian di daerah berkenaan.

“Contohnya, Program Penternakan Burung Walit di Daerah Pitas dan Daerah Kecil Banggi serta program penanaman Sacha Inchi di Daerah Kecil Tamparuli dan Kiulu.

“Semua program keusahawanan yang telah dan sedang dilaksanakan oleh kementerian adalah bertujuan dalam membantu golongan miskin tegar atau miskin untuk meningkatkan taraf hidup dan sosio ekonomi, khususnya peningkatan pendapatan di kalangan komuniti luar bandar,” katanya.

Tambah beliau, terdapat juga beberapa program yang telah dirancang bagi membantu rakyat keluar daripada status miskin dan miskin tegar sama adasecara langsung mahupun tidak langsung.

Antaranya ialah Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ); Program Rumah Sejahtera Rakyat Sabah (RSRS); Program 1 Azam; Program Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET); Program Mini Estet Sejahtera (MESEJ); Program Projek Pembangunan Kecil (PPK); Program Bekalan Air Luar Bandar Alternatif (BALBA); dan Program Bekalan Elektrik Luar Bandar Alternatif (BELBA).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|