Perkhemahan Unicamp platform lahirkan modal insan seimbang

Perkhemahan Unicamp platform lahirkan modal insan seimbang

Penampang: Penganjuran Perkhemahan Unicamp SMK Tansau dilihat antara platform terbaik dalam melahirkan golongan pelajar yang cerdas fizikal dan mental.

Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Zaidi Abdullah berkata, pelbagai aktiviti telah dirancang bertujuan untuk meningkatkan keyakinan diri serta menguji ketahanan fizikal dan mental setiap peserta.

Sebanyak 11 unit beruniform mengambil bahagian dalam perkhemahan Unicamp SMK Tansau.

Menurut beliau, pelbagai aktiviti telah disusun dalam program ini, antaranya ialah aktivitii ‘treasure hunt’, pembinaan gadget dan malam kebudayaan.

“Program ini juga diselitkan dengan aktiviti kerohanian untuk membina keyakinan diri dan mengukuhkan keimanan pelajar.

“Ia bagi membentuk modal insan yang seimbang selaras dengan pembangunan sebuah negara yang mampan dan dinamik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Zaidi yang juga perasmi program berkata, beliau berharap agar kerjasama antara pihak sekolah dan ibu bapa akan diteruskan pada masa akan datang.

“Semoga kerjasama antara pihak sekolah dengan ibubapa akan menjadikan sekolah ini lebih beraspirasi untuk meningkatkan pencapaian murid dalam bidang kokurikulum agar terus cemerlang hingga ke peringkat yang lebih membanggakan lagi,” katanya.

Sementara itu, Pengetua SMK Tansau, Rusmadi Ahmad berkata, penganjuran perkhemahan ini selaras dengan kehendak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam melahirkan golongan modal insan proaktif.

Jelas beliau, pengelibatan murid dalam kegiatan kokurikulum seperti unit beruniform menjadi ejen pelengkap kepada pencapaian akademik mereka.

“Aktiviti ini dilaksanakan selaras dengan kehendak KPM yang ingin mewujudkan modal insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani melalui penglibatan pelajar dalam bidang kokurikulum,” katanya.

Terdahulu, sebanyak 11 unit beruniform telah mengambil bahagian dalam perkhemahan ini dengan melibatkan jumlah anggota seramai 110 orang.

Antaranya ialah Pengakap, Puteri Islam, Pandu Puteri, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM), Kadet Remaja Malaysia (KRS), Kadet Bomba, Kadet Polis, St John Ambulans, Taekwondo, Silat Seni antara lain.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|