Hanya dua MP wakil Sabah, kita perlu sedarkan mereka: Raime

Hanya dua MP wakil Sabah, kita perlu sedarkan mereka: Raime

Kota Kinabalu: Keputusan hanya menyenaraikan dua Ahli Parlimen dari Sabah di dalam barisan kabinet diibaratkan seperti ‘hujan jatuh ke pasir’, demikian luahan Ketua Penerangan BN Sabah, Datuk Raime Unggi.

Senada dengan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, pengumuman Perdana Menteri yang hanya menempatkan dua menteri dari Sabah itu juga memperlihatkan negeri ini seolah terpinggir.

Jelas beliau, berbanding negeri jiran Sarawak, komposisi mereka di kabinet juga melebihi dari Sabah ditambah lagi potfolio jawatan Timbalan Perdana Menteri.

“Bukan niat kami untuk mengadu domba atau sebagainya, akan tetapi jumlah dua itu yakni satu PH dan satu GRS untuk jawatan menteri penuh dilihat kurang memberikan impak.

“Ini ditambah lagi BN Sabah turut menyumbang kepada tujuh kerusi parlimen, kenapa tiada seorang wakil pun diambil untuk perkara sedemikian, “katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, baru-baru ini, Bung Moktar dalam satu kenyataan menyifatkan tiada pelantikan di kalangan Ahli Parlimen BN Sabah dalam barisan kabinet baharu ini sebagai agak tersisih dan nampak terpinggir.

Ini kerana menurut beliau, BN Sabah telah menunjukkan komitmen penuh bersama pusat dalam pembentukan kerajaan baharu dan menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 namun apabila pembentukan kabinet, hanya dua dari Sabah di lantik, iaitu satu dari UPKO, satu GRS.

Untuk rekod BN Sabah memenangi paling banyak kerusi di Sabah yakni tujuh kerusi diikuti GRS (6), PH (5), Warisan (3), Bebas (2), PN (1) dan PKDM (1).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|