Papar: Seorang penunggang motosikal maut selepas terlanggar sebuah kereta di laluan bertentangan di Kilometer 6 Jalan Lama Papar – Kota Kinabalu, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian jam 3.40 petang itu, mangsa lelaki berusia 51 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi dan motosikal jenis Honda CB500.
Katanya, siasatan awal di tempat kejadian mendapati pemandu Perodua Myvi dari arah Kota Kinabalu menuju ke Lawas.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, sebuah motosikal ditunggang mangsa dari arah bertentangan disyaki telah masuk ke laluan Perodua Myvi.
“Penungang motosikal dipercayai telah memotong beberapa kenderaan yang berada di hadapan dan disebabkan jarak diantara kenderaan dengan motosikal itu sudah terlalu dekat, pemandu Perodua Myvi mengelak ke kiri sehingga menghampiri besi penghadang jalan sambil menekan break secara mengejut.
“Namun penungang motosikal telah melanggar juga di bahagian depan sebelah kanan Perodua Myvi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan dihantar ke Unit Forensik Hospital Papar untuk tindakan lanjut.
“Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
-Deasoka