Penjawat awam diminta bantu pelaksanaan pembangunan di Sabah

Kota Kinabalu: Penjawat awam di negeri ini diminta untuk bersama-sama membantu melaksanakan pembangunan di Sabah khususnya pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dilancar Mac tahun lalu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata sokongan dan kerjasama penjawat awam adalah penting dalam memastikan semua pelan pembangunan yang direncanakan kerajaan khusus di Sabah berjalan lancar demi manfaat rakyat.

Hajiji diiringi Adnan (kanan) bergambar bersama tetamu yang hadir pada Majlis Sambutan Perayaan Solidariti Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Pesta Gawai anjuran CUEPACS di Kota Kinabalu.

“Sebenarnya, masih banyak yang perlu kita lakukan. Saya gembira walaupun menghadapi cabaran akibat pandemik Covid-19, ekonomi Sabah kekal berdaya tahan. Ekonomi negeri berada di landasan yang betul dan ada tanda-tanda pemulihan.

“Di bawah pelaksanaan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya, Sabah mencatatkan pendapatan RM 5.449 bilion pada 2021, tertinggi dalam rekod.

“Pada separuh pertama 2021, Sabah menarik RM4.4 bilion pelaburan asing, ketiga tertinggi selepas Kedah dan Selangor.

“Pelaburan utama dalam pembuatan, pelancongan dan pertanian ini dijangka mewujudkan hampir 10,000 pekerjaan. Kami juga menjangkakan bahawa pembukaan sempadan negara pada 1 April lalu, akan memulihkan semula sektor pelancongan Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Perayaan Solidariti Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Pesta Gawai anjuran Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), di sini malam tadi.

Yang turut hadir ialah Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat.

Sehubungan itu, Hajiji berharap semua penjawat awam terus memperkukuh semangat perpaduan, kekitaan dan setiakawan kerana pembangunan sukar direalisasi tanpa sokongan, komitmen serta kerjasama penjawat awam.

Hajiji dalam pada itu turut berkata, kerajaan sentiasa prihatin dengan kebajikan penjawat awam dan berusaha untuk memenuhi keperluan golongan itu bagi membolehkan mereka selesa melaksanakan tugas.

Justeru katanya, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Mac lalu untuk meningkatkan gaji minimum daripada RM1,200 kepada RM1,500 mulai 1 Mei lalu, amat dialu-alukan oleh kerajaan negeri.

“Peningkatan gaji minimum ini memang ditunggu-tunggu semua oleh rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19, khususnya melibatkan golongan pekerja berpendapatan rendah.

“Walaupun kenaikan gaji hanya dikenakan kepada perniagaan di sektor swasta yang mempunyai lima pekerja atau lebih, tetapi majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja perlu membayar gaji minimum RM1,500 mulai 1 Januari 2023.

“Kenaikan gaji minimum ini membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap bebanan yang ditanggung rakyat, terutama selepas pandemik Covid-19,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|