Pengarah turun padang suntik semangat calon SPM 2021 Labuan

Pengarah turun padang suntik semangat calon SPM 2021 Labuan

Labuan: Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Yusup Mohamad, menyuntik semangat calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di pulau bebas cukai ini menerusi Program Pengarah Turun Padang, baru-baru ini.

Program itu diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pantai IB World School (IBWS), di sini yang dihadiri seramai 175 calon SPM 2021 dari sekolah berkenaan.

Yusup menyampaikan Modul YaPEIM kepada Norazita.

Katanya, SMK Pantai adalah sekolah yang kesembilan dikunjunginya menerusi program berkenaan sebagai antara usaha jabatan memotivasi calon SPM 2021 bagi menghadapi peperiksaan itu pada Mac depan.

Beliau berkata, program itu bertujuan untuk menyuntik semangat semua calon SPM agar memperoleh kejayaan yang cemerlang sekali gus dapat membanggakan ibu bapa dan sekolah dengan pencapaian masing-masing.

Yusup (tiga kiri) menyampaikan kain pemidang ‘Selamat Menduduki Peperiksaan SPM 2021’ daripada JPN kepada Norazita (dua kiri).

“Ini adalah salah satu strategi pengarah untuk menyampaikan amanat kepada calon SPM 2021 sebelum mereka menduduki SPM bermula pada 2 Mac depan,” katanya.

Sempena program itu juga, buat kali pertama Muzik Video Rasmi Lagu Sekolah SMK Pantai IBWS hasil ciptaan alumni sekolah itu, Mohd Hazim Mohd Noor ditayangkan secara bersemuka dan disaksikan Pengarah JPWPL dan Pengetua SMK Pantai IBWS, Norazita Md Nor @ Shamsuri.

Turut hadir pada program itu ialah Ketua Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam Jabatan Pendidikan Labuan, Kamariah Salim serta Penolong-penolong Pengarah dari Sektor Pengurusan Pembelajaran Jabatan Pendidikan Labuan.

Sebelum menyampaikan amanatnya, Yusup turut berinteraksi bersama calon SPM 2021 dengan bertanyakan beberapa soalan dan bercerita sedikit mengenai pengalaman sepanjang beliau menuntut ilmu sehingga ke menara gading.

Antara amanat beliau yang berlangsung selama lebih kurang sejam 30 minit itu ialah beliau menyeru agar calon SPM memanfaatkan sepenuhnya baki beberapa hari lagi ini sebelum menduduki SPM yang bakal tiba.

Yusup turut menjelaskan mengenai kepentingan SPM sebagai cabaran pertama untuk meneruskan kehidupan selepas sekolah serta kunci untuk melangkah ke peringkat lebih tinggi dalam pembelajaran dan kehidupan.

Beliau menyatakan harapannya agar semua calon SPM 2021 di Labuan terus belajar dan menjaga kesihatan agar dapat mengikuti peperiksaan berkenaan dengan lancar.

Sebelum majlis berakhir, Yusup juga menyampaikan kain pemidang ‘Selamat Menduduki Peperiksaan SPM 2021’ daripada JPN serta Modul Yayasan Pembangunan Islamiah Malaysia (YaPEIM) kepada Pengetua SMK Pantai IBWS.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|