Pengarah kolej berdepan 21 pertuduhan tuntutan palsu

Pengarah kolej berdepan 21 pertuduhan tuntutan palsu

Kota Kinabalu: Seorang pengarah dan pengurus sebuah kolej di ibu negeri didakwa di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu, hari ini atas 21 pertuduhan membuat tuntutan palsu berjumlah RM369,000 pada 2018.

Tertuduh, Marsam Buhera, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Mengikut pertuduhan, Marsam didakwa memperdayakan prinsipalnya iaitu Timbalan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Sabah yang mempunyai kepentingan terhadapnya berhubung kehadiran peserta kolej yang tidak menepati jumlah sebenar untuk menuntut elaun pelajar.

Marsam didakwa memberikan seorang ejen sebuah dokumen tuntutan yang mengandungi invois, senarai nama peserta, borang kehadiran peserta dan borang penerimaan elaun peserta Program Penyelia Pengurusan Pejabat Kolej Eastern bagi beberapa bulan pada 2018.

Peserta yang hadir juga didakwa tidak pernah menerima elaun membabitkan beberapa tuntutan yang dibuat oleh tertuduh.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Sementara itu, Mahkamah menetapkan jaminan berjumlah RM20,000 dengan wang pendahuluan sebanyak RM10,000 serta seorang penjamin.

Tertuduh juga perlu melapor diri di Pejabat SPRM Sabah sebulan sekali, manakala sebutan semula kes ditetapkan pada 29 April depan.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Dzulkarnain Rousan Hasbi manakala tertuduh diwakili peguam Farazwin Haxdy & Associates.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|