Pendaki wanita alami AMS, diselamatkan

Pendaki wanita alami AMS, diselamatkan

Ranau: Seorang wanita diselamatkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR) selepas mengalami ‘Acute Mountain Sickness’ (AMS) ketika berehat di asrama Laban Rata, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, wanita terbabit dilaporkan sukar bernafas dan perlu dibawa turun segera untuk mendapatkan rawatan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.15 petang.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan 11 anggota dan pegawai termasuk MOSAR serta malim gunung dan anggota Taman-Taman Sabah (TTS) dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi mangsa, pasukan MOSAR terus memberikan rawatan awal dengan cara pemanasan menggunakan ‘heater’, bagi memastikan mangsa dalam keadaan stabil dan selamat.

“Mangsa kemudiannya dibawa turun ke ‘Timpohon Gate’ menggunakan teknik usungan (Neil Robertson Strecher) oleh pasukan penyelamat,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudiannya dihantar pasukan EMRS ke Hospital Ranau untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Katanya, pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 12.06 tengah malam.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|