Kundasang: Seorang pendaki wanita yang terseliuh kaki ketika menuruni Gunung Kinabalu di Kilometer 7.5, selamatkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR), hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu, jam 10 pagi.
Katanya, terdapat seorang pendaki wanita berusia 44 tahun warga tempatan cedera terseliuh buku lali kaki kiri di Kilometer 7.5 ketika menuruni puncak Gunung Kinabalu ke Laban Rata.
“Sepasukan MOSAR bertindak ke lokasi dan memberi rawatan awal kepada mangsa.
“Mangsa kemudian dibawa turun ke Timpohon Gate menggunakan ‘stretcher robinson’ sebelum dihantar ke Hospital Ranau menggunakan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) untuk rawatan lanjut,” katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, operasi ditamatkan pada jam 7.15 petang.
-Deasoka