Pembukaan sempadan mampu lonjakkan semula pelancongan Sabah

Pembukaan sempadan mampu lonjakkan semula pelancongan Sabah

Kota Kinabalu: Sektor pelancongan di negeri ini dijangka berkembang semula dengan lebih pesat selepas pembukaan sempadan negara mulai 1 April depan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Jafry Ariffin, berkata langkah kerajaan Pusat itu pasti memberi kesan positif kepada sektor pelancongan Sabah.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan pengusaha industri pelancongan tempatan supaya bersedia menerima kedatangan pelancong luar dalam usaha memulihkan semula sektor pelancongan.

“Industri pelancongan pasca COVID-19 agak mencabar. Untuk itu, pengusaha industri tempatan perlu bersedia kerana tempoh 2022 hingga 2023 adalah fasa kritikal bagi pemulihan industri pelancongan bukan saja di negara ini malah di peringkat global,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, antara perkara yang perlu diberi perhatian sepanjang tempoh pemulihan termasuk meningkatkan keyakinan dan kepercayaan pelancong luar terhadap Sabah sebagai destinasi pelancongan yang selamat.

Beliau berkata, ia boleh dilakukan dengan menyediakan prosedur operasi standard (SOP) pembukaan semula sektor pelancongan antarabangsa dan menghebahkannya secara meluas menerusi platform digital bagi memudahkan pelancong mengakses maklumat berkaitan.

“COVID-19 mengubah landskap pelancongan di seluruh dunia, oleh itu pengusaha juga perlu bersedia untuk menukar model perniagaan atau struktur tadbir urus bagi memenuhi permintaan baharu sesuai dengan situasi pelancongan semasa.

“Pemain industri juga disaran untuk terus mempergiatkan promosi dan lebih kreatif dalam memasarkan produk serta lokasi pelancongan Sabah di serata dunia.

“Usaha keras pengusaha tempatan dapat mengubah suasana pelancongan negeri termasuk dengan memaksimumkan penggunaan platform digital untuk perkhidmatan dan produk mereka,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|