Pemberian Khas persekutuan kepada Sabah diguna untuk bina 1,500 Rumah Mesra SMJ

Kota Kinabalu: Pemberian Khas RM125.6 juta yang diterima Sabah dari kerajaan Pusat pada tahun ini akan digunakan untuk membina sebanyak 1,500 Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) di 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata jumlah Rumah Mesra SMJ atau sebelum ini dikenali sebagai Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) akan diagihkan sama rata di semua kawasan DUN.

“Keputusan ini selari dengan inisiatif Halatuju SMJ yang digariskan kerajaan negeri dalam menjaga kebajikan rakyat selain mendapat akses untuk memiliki rumah mampu milik.

“Lebihan dana daripada Pemberian Khas itu pula akan digunakan untuk membaiki jalan, jambatan gantung dan infrastruktur lain termasuk harta benda yang rosak akibat banjir,” katanya pada majlis berbuka puasa bersama pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah di Pusat. Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri yang juga Timbalan Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun; Setiausaha BERSATU Sabah, Datuk Mohd Razali Mohd Razi; Menteri Tugas-Tugas Khas yang juga Bendahari Agung BERSATU Sabah, Datuk Mohd Ariffin Arif; Ketua Penerangan BERSATU Sabah, Firdaus Akhbar Khan; Ketua ARMADA, Fairuz Renddan dan Ketua SRIKANDI, Datuk Azizah Mohd Dun.

Dalam kenyataan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob minggu lalu, kerajaan Persekutuan bersetuju menaikkan Pemberian Khas untuk Sabah sebanyak 4.7 kali ganda kepada RM125.6 juta berbanding RM26.7 juta sebelum ini.

Hajiji yang juga Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah berkata, ia adalah permulaan yang baik untuk Sabah sambil memberi jaminan dana berkenaan akan digunakan dengan sebaik mungkin untuk manfaat rakyat dan negeri.

“Ini antara banyak kejayaan yang dicapai kerajaan Gabungan Rakyat Sabah – Barisan Nasional (GRS – BN) dalam masa kira-kira tiga tahun memerintah negeri ini,” katanya.

Pada masa sama, katanya kerajaan GRS – BN tetap akan meneruskan rundingan berkaitan tuntutan pengembalian 40 peratus hasil Sabah seperti dipersetujui dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|