Keningau: Beberapa penduduk di Kampung Minansut Bingkur, di sini, diletakkan dalam tindakan berjaga-jaga apabila rumah mereka mula dilanda banjir, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, beberapa penduduk terjejas difahamkan terpaksa bersedia untuk berpindah ke saudara mara masing-masing berikutan tiada pusat pemindahan dibuka.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.49 petang.
Katanya, sepasukan tujuh anggota dan pegawai bersama jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian didapati benar berlaku bencana banjir. Pasukan bomba terus menjalankan pemantauan dan mengambil maklumat dilokasi.
“Tiada pusat pemindahan dibuka dan tiada operasi pemindahan dilakukan setakat ini,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, pemantauan masih lagi dijalankan dan maklumat akan diberi dari semasa ke semasa.
-Deasoka