Pemandu tersepit dalam kenderaan maut

Pemandu tersepit dalam kenderaan maut

Tenom: Seorang pemandu maut selepas tersepit dalam kenderaan dipandunya yang terbabas sendiri dalam kejadian di Jalan Tenom Sapong, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian yang dilaporkan berlaku kira-kira jam 4 pagi itu, mangsa yang berusia 34 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Pasukan bomba yang hadir dilokasi kejadian membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kenderaan berkenaan. Pix Ihsan Bomba

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima makluman daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tenom, pada jam 4.26 pagi.

Katanya, sepasukan tujuh anggota dan pegawai bersama jentera dikerah bergegas ke lokasi kejadian.

Operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kemalangan didapati membabitkan sebuah kenderaan jenis Proton Saga terbabas sendiri di tepi jalan.

“Terdapat seorang mangsa lelaki tersepit di dalam kenderaan dan operasi mengeluarkan mangsa segera dijalankan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudiannya berjaya dikeluarkan pasukan bomba dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir di lokasi kejadian.

“Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat pada jam 5.30 pagi,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|