Pelan ambil alih SESB selepas tubuh Suruhanjaya Tenaga Sabah – Hajiji

Pelan ambil alih SESB selepas tubuh Suruhanjaya Tenaga Sabah – Hajiji

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri sudah menetapkan rancangan untuk menubuhkan Suruhanjaya Tenaga Sabah dan mengambil alih Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kerajaan negeri perlu menubuhkan suruhanjaya tenaganya sendiri terlebih dahulu supaya pihak berkuasa kawal selia bekalan elektrik boleh dipindahkan daripada kerajaan persekutuan kepada kerajaan Sabah.

Hajiji dan Takiyuddin mempengerusikan bersama mesyuarat di Wisma Sumber Asli, Putrajaya.

Selepas itu, katanya barulah kerajaan negeri mengambil alih SESB tanpa sebarang liabiliti selepas Pelan Transformasi SESB dilengkapkan dalam masa lima ke tujuh tahun dari sekarang.

Katanya, perkara itu dibincangkan pada mesyuarat jawatankuasa tertinggi yang dipengerusikannya bersama Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, mesyuarat jawatankuasa pemandu berkaitan penyerahan kuasa kawal selia bekalan elektrik dan SESB kepada kerajaan negeri itu, bersetuju supaya KeTSA membawa rancangan kerajaan negeri untuk mengambil alih SESB dalam dua peringkat kepada Kabinet Persekutuan.

“Oleh itu, penyelarasan dan kerjasama daripada semua pihak diperlukan untuk memastikan proses undang-undang dilaksanakan dengan lancar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, pada mesyuarat berkenaan, Hajiji turut membincangkan projek dan program yang akan dilaksanakan di Sabah menerusi Pelan Pembangunan Penjanaan Bekalan Tenaga Sabah 2022-2041.

Katanya, kerajaan negeri mencadangkan pembinaan projek janakuasa tenaga berkapasiti 100 Megawatt yang sudah ditender untuk dibangunkan di Kimanis dengan menggunakan sumber gas yang sudah tersedia di kawasan itu.

Jelasnya, kerajaan negeri juga menyokong permohonan New Sabah Hydro bagi cadangan membangunkan loji janakuasa hidro elektrik berkapasiti 170 Megawatt berkonsepkan ‘Run of River’ di Sungai Maligan dan Hulu Sungai Padas, Sipitang yang sudah dibentang dan diluluskan Kabinet Sabah.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri, berkata cadangan projek New East Gas yang berkapasiti 135 Megawatt pula tidak perlu diteruskan jika tarifnya tidak berdaya saing.

Sebaliknya, beliau berkata projek Pengagihan Talian Selatan mesti dilaksanakan dalam satu pakej dan bukannya secara berfasa menggunakan dana terus di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) menjelang 2027.

“Kerajaan negeri turut mencadangkan kerajaan persekutuan tidak meneruskan projek Trans Sabah Gas Pipeline (TSGP) kerana tiada bekalan gas dan sebaliknya kontraktornya yang sudah dibayar untuk projek itu akan melaksanakan projek Talian Selatan,” katanya.

Hajiji juga mahu pelaksanaan projek naik taraf grid pengagihan tenaga dari Segaliud, Sandakan ke Jalan Dam, Lahad Datu dan Mengalong, Sipitang serta seterusnya ke Lawas, Sarawak dipercepatkan.

Tambahnya, kerajaan negeri turut meminta supaya harga gas di janakuasa bebas (IPP) dikekalkan pada kadar minimum RM6.40 per Metric Million British Thermal Unit (MMBtu) sehingga tarikh tamat konsesi mereka bagi mengelak kenaikan mendadak kos operasi yang akan memberi kesan langsung terhadap tarif elektrik di Sabah.

Beliau berkata, Suruhanjaya Tenaga juga digesa untuk mempercepat kelulusan lesen projek bekalan elektrik untuk Kilang Kaca Kibing di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP).

Dalam pada itu, Hajiji kemudiannya mempengerusikan bersama mesyuarat jawatankuasa pemandu bagi penyerahan pengurusan dan kawalan sumber gas Sabah dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed di Kuala Lumpur.

Hajiji berkata, langkah kerajaan negeri mengambil alih pengurusan dan kawalan bekalan gas di Sabah adalah selaras dengan pelbagai inisiatif berkaitan yang dirancang dan dilaksanakan di negeri ini.

“Ia akan membolehkan kita membabitkan diri secara langsung dalam aktiviti industri minyak dan gas untuk manfaat rakyat dan negeri Sabah.

“Kerajaan negeri komited untuk memastikan industri gas di Sabah akan terus dibangunkan menerusi polisi berkaitan tanpa kompromi terhadap keselamatan dan keberkesanan perkhidmatan kepada pengguna, selain memastikan tiada gangguan dalam operasi sepanjang tempoh peralihan,” katanya.

Turut menemani Hajiji pada mesyuarat itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong; Ketua Pegawai Eksekutif Unit Tenaga Sabah, Datuk Ir Abdul Nasser Abdul Wahid; Peguam Besar negeri, Datuk Nor Asiah Mohd Yusof; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam negeri, Datuk Datu Rosmadi Datu Sulai dan Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan negeri, Mohd Sofian Alfian Nair.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|