Kastam Sabah rampas rokok seludup bernilai RM2 juta

Kastam Sabah rampas rokok seludup bernilai RM2 juta

Kota Kinabalu: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Sabah berjaya merampas 100,500 bungkus rokok seludup bernilai RM2 juta dalam operasi di Jalan Lama Penampang – Papar, Lebuh Raya Pan Borneo, di sini, Sabtu lalu.

Dalam operasi jam 3.40 petang itu, pasukan penguatkuasaan Cawangan Operasi Kota Kinabalu JKDM turut menahan dua lelaki warga tempatan berusia 26 dan 62 tahun.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Cheong Yu Min ketika sidang media berkenaan kejayaan rampasan rokok seludup bernilai RM2 juta.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Cheong Yu Min berkata, bertindak atas maklumat awam dan risikan, pihaknya menahan sebuah lori tiga tan disyaki membawa barang-barang tidak bercukai di jalan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas lori yang ditahan mendapati bahawa dianggarkan sebanyak 100,500 bungkus rokok pelbagai jenama dengan anggaran nilai selepas cukai RM2 juta.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Cheong Yu Min (dua dari kanan) memeriksa rokok seludup yang dirampas.

“Selain itu, dua suspek ditahan bagi tujuan siasatan lanjut,” katanya dalam sidang media di Wisma Penguatkuasaan, Sepanggar, di sini, hari ini.

Beliau berkata, modus operasi bagi kes ini adalah mengangkut barang-barang tak berkastam dengan menggunakan lori tiga tan jenis lori kotak bagi mengelak dikesan oleh pihak berkuasa.

“Siasatan awal mendapati rokok ini dipercayai untuk pasaran tempatan di Kota Kinabalu atau kemungkinan ke daerah-daerah lain.

“Siasatan lanjut juga masih dijalankan untuk mengenal pasti sumber rokok seludup berkenaan,” katanya.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967.

Sementara itu, Cheong Yu Min berkata, orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain.

“JKDM menyeru orang awam memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau hadir ke mana-mana pejabat JKDM yang terdekat.

“Pihak JKDM juga memberi jaminan, identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|