Pelajar sekolah turut dapat perhatian kerajaan

Pelajar sekolah turut dapat perhatian kerajaan

Kota Belud: Kerajaan sentiasa prihatin terhadap nasib rakyat di negeri ini terutama pelajar yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, kerajaan memahami masalah yang dihadapi rakyat termasuk pelajar sekolah berikutan pelaksanaan pelbagai prosedur operasi standard (SOP) dalam usaha mengekang penularan virus berkenaan.

Salleh menyampaikan replika cek kepada wakil sekolah di Kota Belud.

“Banyak perkara berubah secara mendadak. Wajib pakai pelitup muka, menjaga jarak satu meter, amalan mencuci tangan dengan cecair pembasmi kuman dan amalan sembang rapat yang dilarang.

“Selain perubahan-perubahan ini dan amalan norma baharu turut menjejaskan ekonomi rakyat di negara ini.

“Hal ini menghimpit dan meninggalkan kesan lebih berat kepada ibu bapa yang masih mempunyai anak yang kecil atau yang akan menghadapi peperiksaan utama seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM),” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Bantuan Kerajaan Sabah untuk calon SPM dan STPM tahun 2021 bagi daerah Kota Belud, di sini, hari ini.

Salleh berkata, kerajaan Sabah menyalurkan bantuan tunai sebanyak RM346,800 kepada pelajar yang terkesan terutama mereka yang akan menduduki peperiksaan SPM dan STPM di daerah ini.

“Bantuan Tunai sebanyak RM200 diagihkan kepada setiap pelajar di daerah ini.

“Bagi calon SPM, bantuan itu melibatkan jumlah sebanyak RM281,200 untuk 1,406 calon dan selebihnya RM65,600 diberikan kepada 328 calon STPM,” katanya.

Salleh dalam pada itu berharap pelajar yang bakal menduduki dua peperiksaan besar itu dapat memanfaatkan sepenuhnya bantuan yang diberikan.

“Kita berharap anak-anak yang bakal menduduki peperiksaan SPM dan STPM ini nanti akan dapat memanfaatkan bantuan dengan membeli keperluan-keperluan penting semasa peperiksaan ini kelak.

“Pembelajaran maya ketika ini amat mendesak demi mendapatkan maklumat-maklumat yang terkini dalam mengukuhkan lagi isi-isi penulisan ketika menjawab soalan-soalan.

“Hal ini tidak menghairankan sekiranya ada calon-calon yang menggunakan bantuan ini membeli kredit atau ‘top-up’,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|