Panggilan Ketua Menteri sudah cukup baik – Hajiji

Panggilan Ketua Menteri sudah cukup baik – Hajiji

Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah tidak bercadang mengikut langkah Sarawak menukar panggilan ‘Ketua Menteri’ dengan gelaran baharu seperti ‘Premier’.

Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor, menyifatkan panggilan ‘Ketua Menteri’ yang digunakan ketika ini sudah cukup baik.

“Kerajaan belum ada cadangan untuk itu. Saya ingat, panggilan Ketua Menteri setakat ini cukup baik,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Inisiatif Bantuan e-Kasih Dana Caruman I-Suri (BAIDURI) Sabah, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Sabah mempunyai cadangan untuk menukar gelaran jawatan Ketua Menteri seperti dilakukan Sarawak.

Negeri jiran itu menukar panggilan jawatan Ketua Menteri kepada Premier Sarawak berkuat kuasa hari ini.

Pertukaran itu dimaklumkan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion menerusi satu kenyataan hari ini.

Ia berikutan pindaan Perlembagaan Sarawak yang diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 15 Februari lalu.

Selain jawatan Ketua Menteri, turut ditukar ialah panggilan untuk Timbalan Ketua Menteri yang kini dipanggil Timbalan Premier dan Menteri Muda yang kini dipanggil Timbalan Menteri.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|