42,097 wanita terima RM2.5 juta inisiatif BAIDURI di Sabah

42,097 wanita terima RM2.5 juta inisiatif BAIDURI di Sabah

Kota Kinabalu: Seramai 42,097 wanita mendapat manfaat inisiatif Bantuan e-Kasih Dana Caruman i-SURI atau BAIDURI membabitkan peruntukan RM2,525,820 di Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata BAIDURI yang diperkenalkan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah
(GRS) dalam Belanjawan 2022 adalah bukti keperihatinan kerajaan dalam membantu golongan wanita di negeri ini.

Hajiji menyempurnakan gimik Pelancaran BAIDURI di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu.

Katanya, ia adalah bantuan kerajaan negeri dalam bentuk dana awal caruman KWSP secara sekali bayar sebanyak RM60 seorang kepada wanita dalam kategori e-Kasih yang disasarkan.

“Inisiatif ini bagi memastikan kesejahteraan golongan suri rumah dan mengiktiraf sumbangan mereka kepada ahli keluarga serta pembangunan negara.

“Dengan melaksanakan inisiatif BAIDURI ini, kerajaan negeri memberi peluang kepada wanita e-Kasih mendapat manfaat sebanyak RM480 seorang daripada kerajaan persekutuan melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Saya berharap pelaksanaan inisiatif ini memberi peluang kepada golongan wanita terutama sekali suri rumah untuk menceburi bidang perniagaan dan membantu mereka menikmati keselamatan sosial yang berkualiti selain meningkatkan keselamatan kewangan seperti yang dinikmati ahli KWSP yang lain,” katanya pada Pelancaran Inisiatif BAIDURI di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Shahelmey Yahya; Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong; Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Sarul Bahiyah Abu dan Peguam Besar Sabah, Datuk Nor Asiah Mohd Yusof.

Hajiji berkata, antara manfaat lain inisiatif BAIDURI ialah memberi perlindungan kehidupan luas kepada wanita, bukan setakat simpanan persaraan tetapi juga kemudahan lain seperti bantuan hilang upaya, bantuan kematian dan pengeluaran caruman pada usia 50, 55 dan 60 tahun.

Inisiatif baharu itu katanya, diperkenalkan khusus untuk isteri kepada ketua isi rumah (KIR) atau KIR wanita yang berdaftar dengan e-Kasih.

Mengulas lanjut, Hajiji berkata kerajaan GRS sentiasa prihatin terhadap pembangunan wanita, malah diberi peruntukan khas dalam belanjawan setiap tahun demi memperkasakan wanita di negeri ini.

“Kerajaan negeri amat mengikhtiraf sumbangan dan peranan wanita bukan saja dalam sesebuah keluarga tetapi juga sebagai nadi kepada pembangunan masyarakat serta negara.

“Peranan mereka dalam pembangunan negeri adalah amat signifikan. Sebab itu, bagi menghargai sumbangan besar wanita, kerajaan negeri memperuntuk RM17.61 juta untuk pelaksanaan program pembangunan wanita dalam Belanjawan 2022,” katanya.

Beliau menambah, kesejahteraan wanita akan akan terus diberi perhatian terutama mereka yang terkesan akibat penularan pandemik Covid-19.

Hajiji turut meminta semua wanita di negeri ini agar sentiasa peka terhadap setiap perubahan, memanfaatkan peluang yang disediakan dan menimba seberapa banyak ilmu dalam apa juga program yang dilaksanakan kerajaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|