Ops carilamat nelayan hilang, ditamatkan

Ops carilamat nelayan hilang, ditamatkan

Labuan: Operasi Carilamat yang diaktifkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) untuk mengesan seorang kru bot nelayan dikhuatiri lemas di Pulau Kuraman, di sini sejak 24 Disember lalu, ditamatkan, hari ini.

Keputusan itu diambil selepas tiada sebarang petunjuk positif ditemui sepanjang empat hari operasi pencarian diatur gerak.

Pasukan penyelamat yang turut serta dalam operasi Carilamat di Labuan

Pengarah Zon Maritim Labuan, Kepten Maritim Nudin Jusoh berkata, operasi Carilamat ditamatkan selepas menilai kepada keadaan semasa serta hasil perbincangan bersama pasukan penyelamat yang terlibat.

Walaubagaimanapun katanya, pemantauan dan pencarian akan terus dilaksanakan semasa operasi rondaan harian di laut dan pesisiran pantai.

“Maritim Malaysia merakamkan terima kasih kepada semua pasukan penyelamat serta agensi-agensi sahabat yang terlibat dalam operasi Carilamat.

“Antaranya yang terbabit dalam operasi ini adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan BOmba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Perikanan Malaysia serta individu-individu persendirian yang turut sama membantu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Pada 24 Disember lalu, seorang kru bot nelayan dikhuatiri lemas dalam kejadian pada jarak 4.4 batu nautika dari Pulau Kuraman.

Dalam kejadian jam 5 petang itu, mangsa Diniela Rambie, 58, warga Indonesia bersama dua lagi kru melakukan kerja-kerja memotong pukat yang tersangkut pada kipas bot nelayan.

Bagaimanapun mangsa tidak timbul selepas kerja-kerja berkenaan selesai.

Sementara itu, Nudin berkata, Maritim Malaysia mengingatkan orang awam terutamanya komuniti maritim supaya sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan semasa berada dilaut.

Katanya, komuniti laut juga perlu sentiasa peka terhadap ramalan kaji cuaca serta amaran-amaran yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) sebelum melaksanakan sebarang aktiviti di laut.

“Sebarang kecemasan di laut, boleh terus disalurkan melalui talian 999 dan hotline Maritim Malaysia di talian 03-89434001 ataupun Pusat Operasi Zon Maritim Labuan di talian 087-427999,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|