Angka mangsa terjejas air pasang besar, banjir catat penurunan

Angka mangsa terjejas air pasang besar, banjir catat penurunan

Kota Kinabalu: Jumlah mangsa yang terkesan akibat fenomena air pasang besar dan banjir di negeri ini mencatatkan penurunan dengan 1,589 mangsa dilaporkan berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), setakat jam 8 pagi ini.

Ia merupakan penurunan sebanyak 17 mangsa, berbanding 1,606 mangsa yang dilaporkan petang semalam.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah, jumlah itu membabitkan sebanyak 354 Ketua Isi Rumah (KIR) daripada tiga buah daerah, iaitu Pitas, Kota Belud dan Sandakan.

“Daerah Pitas mencatatkan seramai 766 mangsa daripada, diikuti dengan Sandakan (688 mangsa) dan Kota Belud (135 mangsa).

“Secara keseluruhan, kesemua daerah ini menunjukkan trend semasa yang menurun,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, jumlah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang beroperasi bagi menempatkan mangsa-mangsa terkesan juga kekal sebanyak sembilan buah.

“Enam daripadanya telah dibuka di Pitas, iaitu Balai Raya Agropolitan Kg. Pinggan-Pinggan (297 mangsa), Dewan Kg. Mempakad (163 mangsa), dan Dewan Terbuka Kg. Rosob (156 mangsa).

“Selain itu, ialah Gereja SIB Kg. Luntuk (79 mangsa), Dewan SMK Pinggan-Pinggan (55 mangsa) dan Dewan Terbuka Kg. Salimpodon (16 mangsa).

“Manakala, terdapat dua PPS yang beroperasi di Kota Belud, iaitu Dewan SJK (C) Chung Hwa (73 mangsa) dan Dewan SK Pekan (62 mangsa).

“Sementara itu, satu PPS masih lagi beroperasi di Sandakan, iaitu SK Sungai Anib 2 yang menempatkan seramai 688 mangsa,” katanya lagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|