Operasi banteras penyambungan elektrik haram

Operasi banteras penyambungan elektrik haram

Lahad Datu: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) berjaya merampas 500 kilogram kabel elektrik dalam Operasi Bersepadu Penyambungan Haram di dua perkampungan setinggan, di sini, semalam.

Operasi yang dijalankan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Air dan Jabatan Perkhidmatan Awam itu memberi fokus untuk membanteras penyambungan haram.

Operasi membanteras aktiviti penyambungan elektrik secara haram dijalankan untuk keselamatan penduduk.

Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) Ir Idris Mohd Noor yang mengetuai operasi berkenaan berkata, usaha membanteras aktiviti ini dijalankan bagi mengelakkan kemerbahayaan yang wujud daripada aktiviti penyambungan elektrik tidak mengikut piawaian.

Katanya, aktiviti penyambungan haram ini bukan saja membahayakan nyawa penduduk tetapi juga menyumbang kepada kes-kes kemalangan seperti kebakaran.

Sebanyak 500 kilogram kabel elektrik berjaya dirampas dalam operasi yang dijalankan di dua kawasan setinggan.

“Pelaksanaan operasi ini juga bertujuan untuk menyampaikan mesej kepada penduduk bahawa SESB mengambil serius terhadap aktiviti ini.

“Tindakan membuat penyambungan elektrik ini juga boleh diklasifikasikan sebagai aktiviti jenayah,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Idris berkata, kegiatan penyambungan haram di daerah Lahad Datu menyebabkan kerugian sekitar RM800,000 setahun kepada SESB.

Bagaimanapun katanya, kerugian bukanlah fokus utama SESB dalam membanteras aktiviti ini sebaliknya lebih kepada faktor keselamatan penduduk.

Sehubungan dengan itu, SESB akan memperkenalkan sistem kad prabayar kepada pengguna di kawasan penempatan setinggan yang layak bagi membanteras aktiviti ini.

Katanya, inisiatif ini sedang dalam proses memuktamadkan prosedur dan tatacara pembekalan ke kawasan setinggan di seluruh Sabah.

“Pelaksanaan sistem ini akan membolehkan SESB mengawal cara penyambungan elektrik supaya keselamatan penduduk lebih terjaga,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|