Niat baik bantu nelayan berakhir tragedi

Niat baik bantu nelayan berakhir tragedi

Kudat: Niat baik untuk membantu nelayan yang cuba mengejar bot hanyut berakhir tragedi apabila seorang lelaki maut akibat lemas di Kampung Labuan Sama, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, mangsa, Jafridin Jawatan, 52, dilaporkan tidak sedarkan diri selepas diselamatkan pasukan bomba yang hadir membantu dilokasi kejadian.

Dua lelaki yang selamat selepas cuba berenang untuk mengejar bot yang hanyut di Kampung Labuan Sama, Kudat.

Manakala rakan mangsa, 53, dan nelayan yang berusia 37 tahun itu selamat tanpa sebarang kecederaan serius.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.50 pagi.

Lokasi kejadian mangsa lemas di Kampung Labuan Sama, Kudat.

Katanya, sepasukan enam anggota dan pegawai bersama jentera terus dikerah ke lokasi kejadian untuk membantu.

“Mengikut maklumat diterima, kejadian berpunca apabila seorang lelaki yang sedang menjalankan aktiviti nelayan disedari cuba berenang untuk mengejar bot miliknya yang hanyut.

“Mangsa yang maut dalam kejadian ini dan rakannya pula cuba membantu sebelum bot mereka terbalik dipukul ombak,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, ketiga-tiga mangsa kemudiannya cuba berenang ke tepi pantai sebelum dibantu pasukan bomba menggunakan tali.

Katanya, dua daripada mangsa terbabit dilaporkan selamat manakala mangsa pula dikatakan tidak sedarkan diri.

“Mangsa diberikan rawatan awal (CPR) oleh pasukan bomba di tempat kejadian sebelum dikejarkan ke Hospital Kudat menaiki Kenderaan Utiliti Bomba untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di hospital oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan operasi ditamatkan pada jam 12.30 tengah hari,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|