ESSCOM tingkatkan usaha kekang jenayah rentas sempadan oleh PATI

ESSCOM tingkatkan usaha kekang jenayah rentas sempadan oleh PATI

Lahad Datu: Kawalan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) akan terus melipat gandakan usaha bagi mengekang anasir tidak sihat dan jenayah rentas sempadan oleh pendatang asing tanpa izin (PATI) di daerah ini.

Komander ESSCOM Datuk Hamzah Ahmad berkata, antara tindakan yang diambil termasuk Operasi Bersepadu yang dikoordinasikan pihaknya di Daerah Lahad Datu bermula 1 hingga 6 Disember lalu.

Pasukan keselamatan memeriksa individu dalam operasi bersepadu di Lahad Datu.

Katanya, Operasi bersepadu dengan kerjasama strategik antara jabatan dan agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) antara Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pasukan Polis Marin (PPM).

“Operasi bersepadu ini turut membabitkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pasukan Keselamatan yang menjalankan operasi bersepadu di Lahad Datu.

“Operasi ini diperkuatkan dengan penyertaan seramai 80 orang anggota bagi memastikan persekitaran sejagat terus terjamin dan selamat demi kepentingan pembangunan sosio ekonomi sekitar pusat operasi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Hamzah berkata, sepanjang tempoh operasi itu, pihaknya berjaya melakukan pemeriksaan fizikal terhadap 548 individu dan 290 rumah serta premis.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 22 PATI ditahan mengikut peruntukan Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pendaftaran Negara 1959 sebelum diusir pulang ke negara asal.

Sehubungan itu, Hamzah berkata, pihak ESSCOM ingin menzahirkan penghargaan kepada semua jabatan dan agensi terlibat, khususnya pegawai dan anggota yang menjayakan operasi ini.

Katanya, ESSCOM juga akan terus mempergiat operasi seumpama ini bagi mengekang elemen yang boleh mengganggu-gugat keselamatan dan kesejahteraan awam akibat kebanjiran PATI khususnya di Pantai Timur Sabah.

“Sehubungan itu, masyarakat diseru untuk membantu menyalurkan maklumat berkaitan sebarang insiden keselamatan di ESS Zone ke Pusat Operasi ESSCOM untuk tindakan segera.

“Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi talian 089-863181 atau menerusi aplikasi WhatsApp di talian 011-63311072,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|