MRSM Tun Mustapha Tawau ‘intai’ potensi murid di pedalaman

MRSM Tun Mustapha Tawau ‘intai’ potensi murid di pedalaman

Kota Kinabalu: Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) terus memainkan peranannya bagi membantu murid-murid kurang berkemampuan untuk melanjutkan pelajaran mereka di institut pendidikan berkenaan.

Baru-baru ini, MRSM menerusi Unit Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) telah mengadakan program ‘Jom Masuk MRSM Tun Mustapha Tawau’ di Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Pensiangan K9 dan SK Kuala Salong, di Nabawan.

Jalaini menyampaikan sijil penghargaan kepada mantan Guru Besar SK Pekan Pensiangan K9 atas sumbangan dan baktinya sebagai perintis Program Jom Masuk MRSM di Nabawan.

Program yang julung kali diadakan itu bertujuan menjalinkan kerjasama pintar dengan sekolah-sekolah rendah khususnya di kawasan pedalaman.

Dalam program berkenaan, pihak MRSM Tun Mustapha Tawau telah menjalankan pelbagai aktiviti menarik yang bertujuan untuk menerangkan peluang-peluang disediakan pihak MARA kepada murid-murid di kawasan pedalaman.

Suriyani (kanan) membuat temuduga terhadap pelajar yang berpotensi untuk melanjutkan pelajaran ke MRSM.

Selain itu, sesi penerangan khas kepada ibu bapa turut diadakan di samping pelbagai lagi aktiviti menarik berteraskan kepada sains dan teknologi.

Pengetua MRSM Tun Mustapha Tawau, Jalaini Ismail berkata, MARA menerusi MRSM sentiasa komited memberi peluang pendidikan dengan kemudahan terbaik kepada masyarakat terutama yang berada di luar bandar serta tidak berkemampuan.

Jalaini menyempurnakan majlis penutupan Program Jom Masuk MRSM.

Katanya, MRSM Tun Mustapha Tawau sebagai salah sebuah daripada empat MRSM yang sedang beroperasi di Sabah sentiasa bergerak proaktif dalam menyampaikan maklumat berkaitan dengan peluang pendidikan di MRSM agar murid-murid di luar bandar tidak ketinggalan dengan maklumat semasa.

”Siri Program Jom Masuk MRSM kali ini diadakan khas di Pensiangan kerana kami mahu murid-murid dan masyarakat di sana mendapat maklumat-maklumat terkini berkaitan dengan syarat dan peluang melanjutkan pelajaran di MRSM.

”Kami berharap lebih ramai murid-murid di kawasan berkenaan berjaya melanjutkan pelajaran ke MRSM menerusi kerjasama ini,” katanya.

Sementara itu, Guru Besar SK Pensiangan K9 Sauli Ramli berkata, kerjasama pintar dalam bidang pendidikan seperti yang dilaksanakan MRSM Tun Mustapha Tawau bukan sahaja bermanfaat kepada murid-murid di luar bandar, malah turut menyuntik semangat para murid untuk berusaha dengan lebih gigih agar dapat melanjutkan pelajaran di MRSM.

”Saya berharap agar kerjasama ini dapat diteruskan dan dijadikan sebagai program tahunan kedua-dua pihak demi murid-murid dan masyarakat di luar bandar,” katanya.

Terdahulu, penyalaras program itu, Muhamad Adam bin Ramli menjelaskan Program Jom Masuk MRSM itu adalah antara program signifikan yang dijalankan Unit CSR MRSM Tun Mustapha Tawau.

Katanya, program berkenaan akan diteruskan secara bersiri dengan tumpuan kepada sekolah-sekolah di kawasan pedalaman.

”Saya juga ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak SK Pekan Pensiangan K9 khususnya dan pihak Pejabat Pendidikan Daerah Nabawan kerana kerjasama diberikan dan berharap lebih ramai murid-murid dari kawasan pedalaman melanjutkan pelajaran di MRSM.

”Saya juga mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Peter Anthony serta pihak-pihak lain yang telah memberikan sumbangan serta kerjasama dalam menjayakan program ini.

Turut bersama dalam Program Jom Masuk MRSM di SK Pekan Pensiangan ialah Timbalan Pengetua Pembangunan Pelajar Zakaria Japri, Pegawai Perhubungan Unit CSR MRSM Tun Mustapha Tawau, McManus Sing, Kaunselor Suriyani Yahya serta serta guru-guru dan pelajar MRSM Tun Mustapha Tawau.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|