Ranau: Seorang pendaki diselamatkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR) selepas cedera akibat terjatuh ketika mendaki gunung di Kilometer 6.2, di sini, hari ini.
Wanita berusia 36 tahun itu dilaporkan mengalami cedera di bahagian buku lali.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.20 pagi.
Katanya, susulan laporan itu, sepasukan anggota dan pegawai termasuk MOSAR, Malim Gunung serta Park SAR dikerah ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi mangsa, pasukan MOSAR terus memberikan rawatan awal kepada mangsa seterusnya dibawa turun ke Timpohon Gate menggunakan Robertson Strecher.
“Mangsa seterusnya dihantar ke hospital menggunakan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya hari ini.
Menurutnya, operasi ditamatkan pada 5.02 petang.
-Deasoka