Polis siasat video tular lelaki dibelasah kerana curi syampu, losyen

Polis siasat video tular lelaki dibelasah kerana curi syampu, losyen

Semporna: Polis sedang menjalankan siasatan lanjut susulan video tular seorang lelaki dibelasah sekumpulan individu selepas didakwa mencuri beberapa barang termasuk syampu di sebuah pasar raya di daerah ini, semalam.

Rakaman video berdurasi satu minit 36 saat itu tular sejak pagi tadi dipercayai dirakam oleh orang awam sebelum dimuat naik di media sosial.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, siasatan mendapati kejadian itu berlaku kira-kira jam 3 ketika pengadu sedang bekerja di pasar raya di Jalan Bugaya, di sini menahan seorang lelaki disyaki terbabit dengan kecurian barang dalam pasar raya berkenaan.

“Ketika hendak menahan lelaki itu, dia cuba melarikan diri dengan menggunakan kereta jenis Proton Saga warna hitam. Selepas itu beberapa pekerja di pasar raya cuba menahan tetapi suspek bertindak memandu kereta secara berbahaya dan melanggar dua kenderaan jenis Honda dan van yang parkir di hadapan pasar raya berkenaan.

“Atas ihsan seorang lelaki yang baik hati telah membayar kerugian yang dialami dan kerosakan kenderaan yang terbabit dan suspek dilepaskan atas perbincangan antara mereka,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Farhan berkata, siasatan lanjut polis mendapati suspek warga tempatan berusia 40 tahun mencuri dua botol syampu, satu losyen tangan bernilai RM126.

“Suspek mempunyai 11 rekod lampau iaitu dua kes jenayah mengikut Seksyen 186 Kanun Kesekaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas, Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan sembilan rekod berkaitan kesalahan dadah.

“Polis sedang menjalankan siasatan lanjut berkaitan kes ini termasuk mengesan saksi untuk diambil keterangan,” katanya.

Menurutnya, pada 4.50 petang tadi, polis menahan suspek untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

“Polis menasihati pemilik-pemilik pasar raya sekiranya berlaku kejadian kecurian untuk datang ke balai polis membuat laporan dan menyerahkan suspek serta barang yang dicuri kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

“Sebarang maklumat berkenaan kejadikan ini boleh disalurkan kepada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna, Inspektor Jamal Tampak di talian 013-2111667 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Terdahulu, video tular memaparkan lelaki cedera dibelasah sekumpulan individu selepas didakwa mencuri beberapa barang termasuk syampu di sebuah pasar raya di sini, menerima pelbagai reaksi dan komen netizen.

Dalam rakaman video berdurasi satu minit 36 saat itu memaparkan, lelaki terbabit dibelasah di kawasan parkir pasar raya sambil diperhatikan oleh orang awam.

Malah, mangsa yang dilihat cuba melepaskan diri turut terbaring dalam keadaan mulutnya berlumuran darah selepas ditendang salah seorang penyerang.

Beberapa orang awam di kawasan berkenaan turut merayu supaya tindakan itu dihentikan selain ada yang meminta supaya mangsa diberikan air.

Kejadian yang tular di media sosial kemudiannya mengundang pelbagai reaksi negatif berikutan tindakan pelaku yang menendang mangsa sebagai melampau.

Netizen turut menyuarakan pendapat bahawa mangsa sepatutnya diserahkan kepada pihak polis dan bukannya diperlakukan sesuka hati.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|