MOSAR selamatkan wanita cedera ketika mendaki Gunung Kinabalu

MOSAR selamatkan wanita cedera ketika mendaki Gunung Kinabalu

Ranau: Seorang wanita terpaksa diselamatkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR) selepas mengalami kecederaan di kaki dan mulut ketika mendaki gunung di kawasan Kilometer 5, Vilossa, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, wanita berusia 44 tahun terbabit dilaporkan sukar bergerak dan terpaksa dibawa turun untuk mendapatkan rawatan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11 pagi.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan lapan anggota dan pegawai termasuk MOSAR dan malim gunung dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi mangsa, pasukan MOSAR terus memberikan rawatan awal bagi memastikan mangsa dalam keadaan stabil dan selamat.

“Mangsa kemudiannya dibawa turun ke ‘Timpohon Gate’ menggunakan Robinson stretcher oleh pasukan penyelamat,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudiannya dihantar pasukan EMRS ke Hospital Ranau untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Katanya, pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|