Sandakan: Mayat seorang lelaki ditemui oleh sepasukan bomba selepas membuka pintu sebuah rumah yang terkunci di Flat Taman Sejati, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa berusia lingkungan 50 tahun ditemui dalam keadaan terduduk di kerusi oleh pasukan bomba.

Jurucakap Pusat Gerakan (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pintu rumah terkunci daripada polis jam 2.21 petang.
Katanya, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan bersama jentera digerakkan ke lokasi berkenaan.
“Sebaik tiba di lokasi itu, pasukan bomba menggunakan peralatan khas power saw bagi membuka jeriji besi.
“Sebaik pintu berjaya dibuka, terdapat seorang penghuni berada di dalam rumah dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi tamat pada 2.48 petang,” katanya.
-Deasoka