Labuan: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Labuan melaksanakan satu bantuan pemindahan kecemasan (MEDEVAC) di perairan Labuan, di sini, tengah malam tadi.
Pengarah Zon Maritim Labuan, Kepten Maritim Nudin Jusoh berkata, Pusat Operasi Zon Maritim Labuan menerima panggilan kecemasan pada jam 12.50 tengah malam tadi.
Katanya, maklumat yang diterima daripada ejen kapal tanker Aristoklis memaklumkan, kapten kapal berkenaan memerlukan bantuan pemindahan kecemasan.

“Bot KILAT 40 terus diarahkan untuk memberikan bantuan kecemasan bagi memindahkan pesakit iaitu seorang warganegara Rusia berusia 49 tahun.
“Mangsa perlu dipindahkan ke darat untuk menerima rawatan akibat mengalami tekanan darah rendah dan muntah-muntah,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Nudin berkata, kapal seterusnya dibawa ke Jeti Zon Maritim Labuan dan diserahkan kepada petugas kesihatan yang sudah sedia menunggu di jeti untuk membantu.
Sementara itu, Nudin berkata, sebarang kecemasan di laut boleh terus disalurkan melalui talian 999 atau talian hotline Maritim Malaysia di talian 03-89434001.
Katanya, maklumat juga boleh disalurkan ke Pusat Operasi Zon Maritim Labuan di talian 087-427999 atau melalui aplikasi whatsapp di talian 013- 2558539.
-Deasoka