Mari rapatkan ukhuwah, bukan masa bertelagah

Mari rapatkan ukhuwah, bukan masa bertelagah

Kota Kinabalu: BN Sabah perlu rapatkan ukhuwah, bukan masanya untuk bertelagah di antara satu sama lain.

Demikian pendapat Setiausaha Penerangan UMNO negeri, Ibrahim Dzul Aklamat yang meminta semua pihak sama ada di peringkat pimpinan negeri mahupun akar umbi parti, untuk terus bertenang dalam menghadapi cabaran menjelangnya Pilihan Raya Umum ke – 15 (PRU-15), tidak lama lagi.

Jelasnya, muktahir ini, sudah terdapat banyak kenyataan yang dilontarkan oleh beberapa pihak berhubung situasi semasa menjelangnya PRU, lebih-lebih lagi soal kerjasama melibatkan gabungan lain serta cadangan pembahagian kerusi.

“Saya tampil untuk memaklumkan semua yang berkenaan silalah bertenang kerana gerak geri kita diperhatikan oleh rakyat, yakni pengundi kita nanti.

“Setiap kritikan, dakwaan yang dilontarkan melalui media arus perdana atau sosial media haruslah membawa kepada perpaduan parti menuju persiapan PRU dan bukannya memberi gambaran kita sedang bertelagah atau sebagainya.

“Sekiranya ada yang menyebabkan ketidakpuashatian, maka saya sarankan supaya diselesaikan secara diplomasi dan di meja perundingan, bukannya sekadar di ketengahkan melalui media masa sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas beberapa isu yang timbul berkenaan soal kerjasama politik melibatkan BN Sabah, GRS dan komponen-komponen lain, baru-baru ini.

Ibrahim dalam masa yang sama menegaskan, perjuangan UMNO, BN Sabah sejak bergelar pembangkang negeri hinggalah ke peringkat gabungan pentadbir tidak putus berkerja dan sentiasa memperjuangkan isu rakyat Sabah.

“Janganlah kerana berasakan tidak mempunyai tempat teruslah menyasarkan parti tidak mengenang jasa, ini adalah satu tanggapan yang salah.

“Sebagai ahli parti setia, wadah perjuangan kita adalah sama, sama ada berjawatan atau tidak…agenda politik kita adalah memperjuangkan nasib rakyat Sabah.

“BN Sabah mempunyai trek rekod yang tidak boleh dinafikan dalam membantu membangunkan negeri, maka kita perlu rapatkan saf kita berdepan cabaran-cabaran awal ini, bukannya melupakan asas perjuangan serta perlembagaan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|