Lori muatan petrol dan diesel bernilai RM160,550 ditahan

Lori muatan petrol dan diesel bernilai RM160,550 ditahan

Kota Kinabalu: Seorang pemandu warga asing ditahan bersama lori muatan minyak petrol dan diesel tanpa kelulusan yang sah dengan nilai keseluruhan berjumlah RM160,550, hari ini.

Suspek warga Indonesia berusia 27 ditahan pegawai dan anggota dari Batalion 20 Pasukan Gerakan Am (PGA) Beluran ketika melalui Pusat Pemeriksaan Darat (RCP) Sapi Nangoh, Beluran, kira-kira jam 9 pagi.

Suspek bersama barang rampasan yang ditahan di RCP Sapi Nangoh, Beluran.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, hasil pemeriksaan pegawai dan anggota bertugas menahan sebuah lori dipandu lelaki warga Indonesia yang dari arah Sandakan menuju ke Tongod.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati lori membawa 43 tong biru.

Lori muatan diesel dan petrol tanpa kelulusan yang dirampas.

“Selepas menjalankan pemeriksaan didapati 25 tong berisi petrol dan diesel manakala 18 tong adalah kosong.

“Selepas semakan dibuat, didapati lori berkenaan membawa minyak bersubsidi melebihi had yang dibenarkan iaitu berjumlah 5,000 liter,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdul Rani berkata, lori bersama suspek dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran sebelum diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Peraturan Kawalan Bekalan 1974 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|