
Kudat: Seorang daripada dua mangsa yang dilaporkan hilang ketika memukat di perairan Perapat Tugu Mamal, di sini, semalam ditemui lemas, petang tadi.
Mayat Macklin Majaun, 29, ditemukan pada jam 5.15 petang di kawasan Membatu Laut manakala adik sepupunya, Aewaeinder Fedelex Olliong, 20, masih hilang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat, Ishak Jabas berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dilakukan di sekitar pesisir pantai membawa kepada penemuan salah seorang mangsa.
“Operasi pencarian hari ini seluas 30 batu nautika dan tertumpu di sekitar pesisiran pantai.
“Salah seorang mangsa ditemukan pada jam 5.15 petang oleh orang awam dalam keadaan terapung di kawasan Membatu Laut iaitu kira-kira tiga kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan lemas,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Katanya lagi, mangsa disahkan sudah meninggal dunia sebelum mayatnya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya.
“Operasi SAR seorang lagi mangsa masih dilakukan ketika ini dan sebarang maklumat akan dikemas kini dari masa ke masa,” katanya.
Sebelum itu, Ishak memaklumkan, operasi itu turut dibantu oleh pihak PDRM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan penduduk kampung.
Terdahulu, dua nelayan dilaporkan dikhutiri lemas ketika keluar memukat ikan bersama dua lagi yang lain.
Kedua-dua mangsa dikatakan dihanyutkan arus deras selepas turun dari bot untuk memasang pukat di perairan berkenaan.
-Deasoka