Kumpulan Yayasan Sabah mulakan program penanaman bahan mentah

Kumpulan Yayasan Sabah mulakan program penanaman bahan mentah

Kota Kinabalu: Kumpulan Yayasan Sabah, melalui Pusat Kraftangan Sabah (PKS), menjalin kerjasama bersama Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) bagi memastikan bekalan rantaian bahan mentah yang mampan sempena Program Penanaman Bahan Mentah (2023-2026).

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Abidin Madingkir berkata, program anjuran PKS di bawah Program Khas Anak Negeri Sabah (PKAN) itu akan mengurangkan permintaan terhadap hutan asli sebagai sumber bahan mentah.

Gulamhaidar (tiga kiri) dan Kamaruzaman (tiga kanan) menunjukkan dokumen yang ditandatangani sambil disaksikan Abidin (tengah).

“Selain turut memastikan daya maju jangka panjang bahan mentah seperti buluh dan rotan yang merupakan komoditi penting dalam industri kraftangan.

“Program penanaman akan dijalankan di kawasan Konsesi Yayasan Sabah dengan penglibatan masyarakat setempat,” katanya dalam satu kenyataan media selepas menyempurnakan Majlis Menandatangani MoU di antara PKS dan MTIB, di Sabah International Convention Centre (SICC), hari ini.

Menandatangani bagi pihak Kumpulan Yayasan Sabah ialah Pengarah Yayasan Sabah merangkap Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn Bhd, Datuk Seri Gulamhaidar @ Yusof Khan Bahadar dan disaksikan oleh Setiausaha Korporat Yayasan Sabah, Hanafiah Diman.

Manakala, MTIB diwakili oleh Ketua Pengarah, Kamaruzaman Othman dan disaksikan oleh Pengarah Pusat Pembangunan Kemahiran Industri Kayu (WISDEC), Farydatul Nazly Mohd Zin.

Menurut Abidin, Kumpulan Yayasan Sabah telah menjalin hubungan kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan dan institusi pengajian tinggi dalam menyediakan kepakaran dan khidmat nasihat strategik bernilai tinggi bagi memastikan keberkesanan program itu.

“Antaranya ialah Jabatan Perhutanan Sabah, Jabatan Tanah dan Ukur Sabah, Jabatan Pertanian Sabah dan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Cawangan Sabah).

“MTIB akan menyediakan perundingan teknikal mengenai pemilihan spesies, teknik penanaman, pembajaan dan rawatan; menjalankan kajian serta penyelidikan mengenai bahan, produk, mesin dan peralatan.

“Selain juga memberi pengiktirafan kepada peserta Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2 berdasarkan Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT).

“Kelimpahan sumber asli Sabah mesti digunakan secara mampan untuk menjana pendapatan dan pertumbuhan ekonomi negeri dalam sektor perindustrian.

“Justeru, program ini dijangka dapat memperkukuh pertumbuhan ekonomi, mengembangkan sektor huluan dan hiliran serta menghasilkan bahan eksport yang ketara yang mampu menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara kita,” katanya lagi.

Tambah beliau, Kumpulan Yayasan Sabah akan terus mempelbagaikan usahanya untuk membangunkan inisiatif yang mampan demi memperkasakan pengusaha industri kayu tempatan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|