KPM sentiasa bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan selesai isu kemudahan murid di Sabah

KPM sentiasa bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan selesai isu kemudahan murid di Sabah

Kota Kinabalu: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi menyelesaikan isu berkaitan infrastruktur demi kemudahan murid terutama di kawasan pedalaman Sabah.

Menterinya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, masalah yang dihadapi murid-murid berkenaan biasanya diperoleh daripada pihak sekolah termasuk membabitkan ketidakhadiran murid ke sekolah.

“Kadang-kadang kalau ada laporan murid sekolah kita dapat bercerita kepada pihak sekolah, tidak boleh datang sekolah disebabkan pelbagai perkara dan kita bekerjasama dengan agensi berkaitan bagaimana kita boleh menyelesaikan perkara itu.

“Kita memang sentiasa bekerjasama rapat sebab kadang-kadang kita tahu kalau murid daripada kampung ini, hari ini tiba-tiba jumlah kehadirannya tidak ramai kita lihat kenapa.

“Kalau isunya berkaitan infrastruktur kita bincang dengan semua agensi yang terlibat, InsyaAllah, kita sentiasa mencari pendekatan yang terbaik untuk membantu mereka mendapat akses pendidikan yang terbaik,” katanya kepada media pada program Bersama Semarakkan Tranformasi Pendidikan-Guru, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kerjasama KPM bagi menangani isu infrastruktur dan kemudahan murid sekolah di kawasan pedalaman Sabah.

Sebelum itu, diminta mengulas berkaitan isu yang sering tular mengaitkan kesukaran murid ke sekolah berikutan masalah infrastruktur, Mohd Radzi berkata, KPM sentiasa mengambil pendekatan bagi menambah baik kemudahan asrama sekolah untuk murid di kawasan pedalaman Sabah.

“Di Sabah ini, kadang-kadang sejam untuk ke sekolah dan sebab itu antara pendekatan ini adalah untuk melihat bagaimana kita dapat menambah baik kemudahan asrama untuk anak-anak kita ini.

“Dalam konteks ini, apa yang penting adalah untuk anak-anak ini mendapat ruang yang terbaik dan pada sudut kita pula dari sudut pembinaan sekolah baharu sebagai contohnya.

“Saya rasa, ini merupakan pendekatan yang kita ambil melihat kepada apa yang disebut tadi, apa yang paling penting kita mahu semua anak kita mendapat akses dalam pendidikan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|