KPDNHEP sita serbuk penaik disyaki tiruan bernilai RM139,218

KPDNHEP sita serbuk penaik disyaki tiruan bernilai RM139,218

Kota Kinabalu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berjaya menyita 38,188 unit serbuk penaik disyaki tiruan di dua premis perniagaan makanan kering di Tawau, hari ini.

Dalam operasi berkenaan, semua serbuk jenama ‘Royal Baking Powder’ itu dianggarkan bernilai keseluruhan RM139,218.

Barangan serbuan penaik disyaki tiruan yang dirampas.

Pengarah KPDNHEP Sabah, Georgie Abas berkata, serbuan dijalankan oleh dua pasukan pegawai penguat kuasa KPDNHEP Sabah yang terdiri daripada tujuh anggota.

Katanya, operasi turut dijalankan bersama wakil kepada pemilik cap dagang berdaftar untuk jenama Royal Baking Powder di dua premis perniagaan berbeza berkenaan.

“Hasil serbuan, pasukan operasi menyita 38,188 unit pelbagai kuantiti bagi barangan serbuk penaik jenama berkenaan yang disyaki tiruan.

“Semua barangan terbabit dianggarkan bernilai RM139,218 dan tindakan kes diambil mengikut Akta Cap Dagang 2019,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Georgie berkata, kedua-dua pemilik premis perniagaan berkenaan disiasat mengikut Seksyen 102(1)(b)(c) Akta Cap Dagangan 2019.

Katanya, ia mempunyai dalam milikan bagi maksud perdagangan barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.

“Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi pertuduhan perbadanan boleh didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barangan.

“Kementerian ini akan terus menguatkuasakan undang-undang mengikut Akta Cap Dagangan 2019 bagi membanteras penjualan barangan tiruan dan aktiviti cetak rompak di pasaran,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, peniaga juga diingatkan supaya lebih bertanggungjawab serta menghormati harta intelek orang lain.

Disamping itu katanya, peniaga perlu sentiasa melakukan semakan status kesahihan dan ketulenan barangan yang dibekalkan.

“Pengguna juga dinasihati supaya tidak menyokong jualan barangan tiruan di
pasaran yang belum tentu terjamin dari segi kualiti dan keselamatannya.

“KPDNHEP sentiasa mengalu-alukan sebarang maklumat serta aduan berkaitan salah laku peniaga,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|