KPDNHEP Sabah keluarkan kompaun RM8,400 bagi 65 kes

KPDNHEP Sabah keluarkan kompaun RM8,400 bagi 65 kes

Kota Kinabalu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah mengesan 65 kesalahan membabitkan nilai kompaun RM8,400 sepanjang pelaksanaan penguatkuasaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) yang berakhir hari ini.

Skim yang dilaksanakan bermula 7 Disember lalu itu turut memeriksa sebanyak 11,243 premis perniagaan di seluruh negeri ini.

KPDNHEP Sabah melakukan pemeriksaan di premis di sekitar negeri ini.

Pengarah Pejabat KPDNHEP Sabah, Georgie Abas berkata, jumlah pemeriksaan premis yang direkodkan itu adalah termasuk pemeriksaan yang dijalankan semasa berkuatkuasanya Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas pada 23 Disember 2021 hingga 31 Disember 2021 dan SHMMP Tahun Baru Cina pada 29 Januari 2022 hingga 4 Februari 2022.

“Sebanyak 65 kes yang dihasilkan dengan jumlah keseluruhan bayaran kompaun sebanyak RM8,400.


“Kebanyakan tindakan kes yang direkodkan adalah kesalahan peniaga gagal menggunakan tanda harga khas berwarna merah jambu terhadap barangan kawalan musim perayaan, tidak mempamerkan tanda harga pada barangan yang dijual, menjual melebihi harga maksimum yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya lagi, terdapat satu aduan diterima oleh KPDNHEP Sabah semasa SHMKM 2022 iaitu aduan berkaitan dengan penjualan barang kawalan SHMKM yang melebihi harga maksimum.

“Aduan tersebut telah disiasat dan tindakan kes telah dihasilkan,” katanya.


Georgie berkata, secara umumnya, tahap pematuhan SHMKM 2021, SHMKM 2022, SHMMP Krismas 2021 dan SHMMP Tahun Baru Cina 2022 adalah memuaskan.

“KPDNHEP Sabah berharap agar semua peniaga terus mematuhi langkah intervensi pihak kerajaan dengan pelaksanaan Harga Maksimum bermula 5 Februari 2022 hingga 5 Jun 2022 bagi ayam dan telur ayam (Gred A, B dan C),” katanya.

Sementara itu, Georgie memaklumkan bahawa beliau turut mengetuai sepasukan pegawai penguat kuasa KPDNHEP untuk menjalankan pemeriksaan mengejut di beberapa pasar raya tumpuan utama di sekitar Putatan hari ini.


“Hasil pemeriksaan yang dijalankan di pasar raya utama mendapati berlakunya kekurangan daging ayam di premis-premis terbabit berikutan permintaan dan pembelian yang meningkat tinggi bagi keperluan perayaan Tahun Baru Cina.

“Pada masa sama, terdapat ladang-ladang serta pembekal-pembekal daging ayam yang bercuti semasa Tahun Baru Cina dan ini menyebabkan penghantaran daging ayam lewat dan bekalan kurang di premis-premis tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, Georgie berkata, bekalan daging ayam dijangka akan kembali stabil bermula minggu hadapan.


“KPDNHEP Sabah juga akan mengadakan sesi libat urus bersama agensi-agensi kerajaan, terutamanya Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah, serta pemain industri bagi memastikan bekalan daging ayam dan telur ayam sentiasa mencukupi di pasaran,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|