KPDNHEP cadang pemberian subsidi kepada individu

KPDNHEP cadang pemberian subsidi kepada individu

Tawau: Pemberian subsidi kepada individu mungkin dilaksanakan bagi menggantikan pemberian subsidi ke atas barangan kawalan dalam usaha mengatasi penyelewengan barangan terbabit ke luar negara.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rasol Wahid berkata perkara itu antara cadangan dikemukakan kementeriannya bagi memastikan barangan bersubsidi hanya dinikmati rakyat tempatan.

Rasol pada sidang media di Tawau.

“Ketika ini kerajaan memberikan subsidi ke atas barang kawalan dan ia akan memberi manfaat kepada rakyat asing sekiranya barang tersebut mengalir ke negara mereka.

“Pemberian subsidi kepada individu dilihat satu mekanisme yang baik supaya kemudahan itu hanya memberi manfaat kepada rakyat Malaysia sahaja,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Rasol meninjau pengedaran barangan kawalan di Pulau Sebatik, Tawau.

Beliau berkata, bagi 2022, kerajaan meluluskan sebanyak RM680 juta untuk memberikan subsidi terhadap barang keperluan.

Katanya, kerajaan tidak mahu subsidi yang diberikan khas untuk rakyat Malaysia mengalir ke luar negara sehingga berlaku kekurangan bekalan di sini.

“Selain itu, kementerian juga menerima beberapa cadangan lain termasuk meletakkan ‘cip’ ke atas barang kawalan supaya kita tahu di mana ia berada.

“KPDNHEP turut bekerjasama dengan pihak berkuasa di negara jiran supaya tiada pengaliran barang secara tidak sah berlaku di antara kedua-dua negara.

“Setakat ini kerjasama itu sangat baik dan penguatkuasaan sentiasa dilakukan secara bersama terutamanya di kawasan sempadan seperti Pulau Sebatik,” katanya.

Sementara itu, Rasol berkata beliau turut melawat ke Pulau Sebatik untuk melihat pengedaran barang kawalan bersubsidi dan program penyeragaman harga di Kampong Sungai Tongkang dan Kampung Mentadak.

Katanya, ia bagi meninjau keberkesanan program yang dilaksanakan kerajaan di pulau berkenaan sejak 2012.

“Data ini sangat penting untuk KPDNHEP menambah baik mekanisme dan meneliti alternatif seperti pelaksanaan Subsidi Bersasar bagi menjamin penyaluran itu tepat kepada golongan sasar,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|