Konvokesyen UMS ke-24 meraikan 4,732 graduan

Konvokesyen UMS ke-24 meraikan 4,732 graduan

Kota Kinabalu: Seramai 4,732 graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS) bakal diraikan dalam Majlis Konvokesyen UMS kali ke-24 yang diadakan pada 10 hingga 12 Disember depan.

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UMS, Prof Dr Rasid Mail berkata, majlis konvokesyen itu akan berlangsung di Dewan Canselor UMS dan melibatkan sebanyak enam sidang.

Prof Dr Rasid Mail

“Sidang 1 yang akan dimulakan pada pagi 10 Disember menyaksikan Canselor UMS, Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin akan menyampaikan ijazah Doktor Falsafah dan Ijazah Sarjana penyelidikan dan kerja kursus kepada graduan.

“Pada Sidang 2 iaitu sebelah petang pada hari yang sama pula akan memperlihatkan graduan dari empat fakulti iaitu Fakulti Kejuruteraan, Fakulti Komputeran dan Informatik, Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan serta Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan akan menerima skrol ijazah masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, Sidang 3 akan melibatkan graduan dari Fakulti Psikologi dan Pendidikan serta graduan Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) dan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan.

Sementara pada Sidang 4, graduan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan akan dianugerahkan dan seterusnya pada Sidang 5 ialah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan dan Akademi Seni dan Teknologi Kreatif.

“Bagi Sidang terakhir, sebanyak lima fakulti terlibat iaitu Fakulti Sains dan Sumber Alam, Fakulti Perhutanan Tropika, Fakulti Pengajian Islam, Fakulti Pertanian Lestari dan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan,” katanya.

Untuk rekod, pada tahun ini, UMS telah mengadakan dua majlis konvokesyen iaitu pada bulan Mac bagi graduan tahun 2020, dan bulan Jun bagi graduan tahun 2021.

Sementara bulan Disember depan, majlis konvokesyen diadakan bagi meraikan graduan tahun 2022.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|