Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) nama parti baharu Peter

Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) nama parti baharu Peter

Kota Kinabalu: Teka teki parti baharu bekas Naib Presiden Parti Warisan (WARISAN), Datuk Peter Anthony akhirnya terjawab hari ini apabila beliau mengumumkan parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).

Peter yang juga presiden protem parti itu berkata, ia dikenali sebagai KDM dan akan dilancarkan di sini, pada 13 Mac depan.

Peter ketika ditemui media di KKIA.

“Hari ini yang ditunggu-tunggu bagi kami oleh pemimpin protem parti KDM di mana parti telah berjaya didaftarkan dan diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) pada 18 Februari lalu.

“Jadi terjawablah segala-galanya yang mengatakan parti ini tidak dapat diluluskan tetapi parti ini telah diluluskan,” katanya kepada pemberita sebaik tiba dari Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di sini, hari ini.

Peter menunjukkan dokumen pendaftaran parti KDM yang diluluskan ROS sebaik tiba di KKIA, Kota Kinabalu.

Katanya, senarai barisan kepimpinan parti sudah ada dan akan diumumkan pada hari pelancaran parti.

“Barisan kepimpinan sudah ada, antaranya Timbalan Presiden, Datuk Nuil Nuatim dan Setiausaha Agung, Dr Gaim @ James Lunkapis,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Melalap berkata, pihaknya akan memohon untuk bergabung di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kerana kerjasama di peringkat negeri penting untuk pembangunan Sabah.

“Sudah tentu parti ini akan memohon untuk bergabung di bawah GRS kerana bagi kami apa yang penting kerjasama di peringkat Sabah.

“Bagi kita selaku parti yang kerdil ini kita akan majukan permohonan bersama-sama dengan GRS untuk bekerjasama termasuk juga dengan parti yang sedang berada di dalam gabungan seperti Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan semua gabungan yang ada di dalam parti gabungan kerajaan negeri Sabah,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa parti baharunya itu akan fokus kepada rakyat Sabah sahaja.

“Parti ini melibatkan parti berbilang kaum yang akan dianggotai oleh semua, yang penting mereka ini adalah orang Sabah yang disertai oleh orang Sabah saja.

“Tujuan kita, adalah lebih baik kita fokus kepada masalah di Sabah ini daripada kita fokus masalah luar,” katanya.

Peter sebelum ini mengumumkan keluar WARISAN pada Disember lalu dan menubuhkan parti baharu yang mesra GRS.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|