Kerjasama dengan rakyat lebih penting berbanding parti – Shafie Apdal

Kerjasama dengan rakyat lebih penting berbanding parti – Shafie Apdal

Lahad Datu: Parti Warisan (WARISAN) menyifatkan kerjasama dengan rakyat lebih penting bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata WARISAN memilih bekerjasama dengan rakyat kerana melihatnya lebih utama berbanding kerjasama dengan parti politik.

Beliau berkata, WARISAN juga sudah bersedia menghadapi PRU-15 meskipun sudah ramai ahlinya meninggalkan parti itu.

Katanya, inilah masanya untuk WARISAN menunjukkan kekuatan tanpa kerjasama dengan parti lain.

“Apa yang penting kepada kita ialah kerjasama dengan rakyat, itu jauh lebih penting daripada kerjasama dengan parti, kerana yang menentukan siapa kerajaan adalah rakyat.

“Yang kedua, kita nak pastikan supaya kesiapsiagaan rumah kita dalam WARISAN itu yang mana tingkap kena curi, tiang kena beli, jadi kita kena ada kesiapsiagaan.

“Kita perlu mendedahkan kekuatan parti kita. Walau kita menimbangkan dengan siapa kita boleh bekerja, tiada gunanya jika apabila lemah kita bekerjasama dengan parti lain,” katanya pada program parti itu, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Presiden WARISAN, Datuk Darell Leiking; Ahli Majlis Tertinggi WARISAN, Assaffal P Allian; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Silam, Dumi Masdal dan ADUN Kunak, Norazlinah Arif.

Mohd Shafie menjelaskan, kejayaan sesebuah parti gabungan tidak terletak kepada partinya melainkan kredibiliti calonnya dan ia terbukti dengan melihat kejayaan calon bebas memenangi pilihan raya sebelum ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|