Tergamak tinggalkan bayi di jalan raya

Tergamak tinggalkan bayi di jalan raya

Keningau: Seorang bayi perempuan yang baru lahir dan masih bertali pusat ditemukan ditinggalkan di atas jalan raya di Jalan Kampung Korikot, Tambunan, hari ini.

Bayi cukup sifat itu ditemui oleh orang awam kira-kira jam 1.05 pagi sebelum melaporkannya kepada pihak polis.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan bayi itu, jam 2.38 pagi.

Katanya, siasatan awal mendapati bayi perempuan itu dijumpai orang awam ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.

“Bayi itu ditemukan cukup sifat di atas jalan raya dalam keadaan dibalut dengan kain putih bercorak bunga.

“Orang awam yang terkejut dan terus mengangkat bayi itu masuk ke dalam kereta,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, bayi itu kemudian dibawa ke Hospital Tambunan untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

“Bayi itu dalam keadaan stabil dan masih mendapatkan rawatan di Hospital Tambunan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan dan siasatan masih diteruskan,” katanya.

Nor Rafidah meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta untuk menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Mohd Damsa Dahlan di talian 0164486747.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|