Kerajaan Sabah timbang perluas tanaman koko

Kerajaan Sabah timbang perluas tanaman koko

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri sentiasa menyokong industri koko untuk dikembangkan termasuk mempertimbangkan untuk memperluaskan lagi tanaman terbabit di negeri ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ramai rakyat Sabah terutama pengusaha terlibat dalam mengusahakan dan pembuatan produk berasaskan koko sama ada secara hiliran atau huluan.

Hajiji menyempurnakan gimik perasmian Pesta Koko Sabah 2022 di Kota Kinabalu.

“Ini satu usaha yang saya rasa cukup baik kerana ia berkait rapat dengan negeri Sabah. Jadi saya ada nyatakan mungkin di masa akan datang adalah lebih baik banyak tanah diusahakan untuk tanaman koko kerana produk-produk koko ini cukup diminati oleh rakyat kita dan juga mereka di luar negara.

“Tadi saya sudah bercakap dengan Pengerusi Lembaga Koko Malaysia, puan Rahimah (Rahimah Majid) kalau ada keperluan daripada pengusaha atau penanam koko kita atau syarikat-syarikat untuk mendapatkan kawasan tanah untuk tanaman koko, pihak kerajaan negeri akan mempertimbangkannya.

“Inilah cara kita menyokong perusahaan koko ini supaya dapat dikembangkan dan diperluaskan lagi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Koko Sabah 2022, di sini, hari ini.

Ketika ini, sebanyak lima daerah menjadi kawasan penanaman koko yang aktif di Sabah iaitu Ranau, Kota Marudu, Tenom, Kota Belud dan Tambunan.

Sehubungan itu, beliau berkata, jika penanaman koko dapat diusahakan dengan lebih baik dan tersusun ia boleh dieksport ke luar negara.

“Sabah selaku negeri utama pengeluar biji koko negara, telah mengeksport sejumlah RM16.16 juta koko dan produk-produk koko pada tahun lalu dan daripada jumlah itu, nilai eksport coklat adalah sebanyak RM7.72 juta atau 10.6 peratus.

“Tahun lalu Sabah menyumbang 59 peratus daripada jumlah pengeluaran biji koko negara, iaitu sebanyak 540 tan metrik dan menyumbang kepada 57 peratus atau kira-kira 3,444 hektar daripada keluasan tanaman koko negara seluas 6,000 hektar.

“Sehingga hari ini Sabah masih menjadi penyumbang utama bagi industri koko di seluruh negara sama ada dari segi keluasan mahu pun pengeluaran biji koko mentah yang bermutu,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|