GRS ada cara satukan, terima parti yang ingin menyertainya – Hajiji

GRS ada cara satukan, terima parti yang ingin menyertainya – Hajiji

Kota Kinabalu: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mempunyai cara tersendiri dalam menerima parti-parti tempatan ke dalam gabungan itu, kata pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau yang juga Ketua Menteri Sabah meminta diberi ruang untuk gabungan itu mempertimbangkan permohonan beberapa parti tempatan yang ingin menyertai GRS.

“Kita mempunyai perancangan di dalam GRS, apa yang kita lakukan Insya-Allah untuk kebaikan negeri Sabah dan juga perpaduan parti-parti yang ada di Sabah.

“Bagilah kami ruang, bukan terus-terus kita buat begitu. Kita ada caranya untuk menyatukan dan menerima parti-parti yang ingin bersama dalam GRS,” katanya kepada media selepas merasmikan Pesta Koko Sabah 2022, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung kenyataan Naib Presiden Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick bahawa penyatuan dalam GRS hanya cakap kosong kerana sehingga kini beberapa parti yang memohon masuk ke dalam gabungan belum diterima.

Mengulas mengenainya, Hajiji menganggap ia hanya pandangan daripada UPKO berhubung perkara itu.

Katanya lagi, buat masa ini pihaknya masih lagi mempertimbangkan permohonan beberapa parti itu dengan teliti.

“Permohonan sedang dipertimbangkan secara baik dan teliti, ” jelasnya.

GRS yang didaftar secara rasmi pada Mac lalu kini dianggotai oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).

Sementara itu, antara parti yang sedang memohon untuk menyertai GRS ialah Parti Liberal Demokratik (LDP), Parti Cinta Sabah (PCS) parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan yang terbaharu, Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|