Kerajaan negeri, JANS kaji pembinaan loji rawatan air di Putatan

Kerajaan negeri, JANS kaji pembinaan loji rawatan air di Putatan

Putatan: Kerajaan negeri bersama Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) sedang mengkaji kebolehlaksanaan pembinaan loji rawatan air bagi mengatasi masalah bekalan air bersih di daerah ini.

Ahli Parlimen Putatan, Datuk Shahelmey Yahya berkata, ia akan dibincangkan dengan lebih lanjut dalam kabinet negeri sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

“Sebagai penyelesaian jangka masa panjang, kerajaan negeri dan pihak JANS mempunyai rancangan untuk membina loji rawatan air dan empangan.

“Kajian kebolehlaksanaan sedang dilakukan dan keputusan muktamad akan diputuskan oleh Kabinet Negeri Sabah,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri taklimat mengenai masalah bekalan air di Pejabat Daerah Putatan, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat negeri berkata, masalah bekalan air di daerah ini berpunca daripada jumlah permintaan yang melebihi jumlah penghasilan bekalan air bersih.

“Kita sedang menghadapi masalah bekalan air kerana jumlah permintaan adalah melebihi daripada jumlah bekalan air terawat yang dapat dihasilkan oleh loji-loji membekal air, iaitu untuk daerah Putatan, kita menerima bekalan air daripada loji rawatan air Moyog dan Kasigui.

“Saya dimaklumkan bahawa kapasiti reka bentuk bagi loji Moyog dan Kasigui adalah sebanyak 215 juta liter sehari, manakala pengeluaran semasa adalah sekitar 238 juta liter. Jadi, ia sudah melebihi kapasii sedia ada.

“Dalam pada itu, kaedah jangka masa pendek yang telah dijalankan oleh pihak JANS adalah dengan melakukan kaedah catuan bekalan air.

“Tujuannya adalah bagi membolehkan kawasan-kawasan yang mempunyai tekanan air rendah dapat dibekalkan bekalan air terawat pada sesuatu jangka masa yang telah ditetapkan,” katanya.

Shahelmey turut menyeru kepada penduduk di sekitar daerah ini untuk peka terhadap notis catuan bekalan air yang dikeluarkan dari masa ke semasa.

Turut hadir dalam taklimat itu ialah Pegawai Daerah Putatan Mokhtar Hussin dan Timbalan Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah Quirine Jokinol.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|