Keluar BERSATU: Bekas wakil rakyat BERSATU Sabah bebas undang-undang anti lompat

Keluar BERSATU: Bekas wakil rakyat BERSATU Sabah bebas undang-undang anti lompat

Kota Kinabalu: Wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) diketuai Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang mengumumkan keluar daripada parti itu hari ini bebas daripada tindakan undang-undang anti lompat parti.

Pensyarah Kanan Sains Sosial Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr Lee Kuok Tiung, berkata ia kerana Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan perkara itu belum dibentang dan diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Berikutan itu, katanya usaha BERSATU Pusat untuk mengambil tindakan dijangka tidak memberi kesan kepada kedudukan Hajiji dan wakil rakyat lain yang bersama dengan beliau.

“Saya yakin mereka (BERSATU Pusat) akan cuba mengambil tindakan terutamanya ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin cuba membuktikan beliau mempunyai majoriti mudah (untuk menjadi Perdana Menteri serta membentuk kerajaan).

“Dijangkakan pada persidangan Dewan Rakyat akan datang pada 19 dan 20 Disember ini akan ada undi percaya terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri menjadikan setiap kerusi Parlimen itu penting.

“Begitupun, kita perlu sedar fakta GRS merupakan sebuah entiti politik yang berdaftar secara sah dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS) dan Ahli Parlimen GRS yang sedia ada bertanding atas logo GRS pada PRU15.

“Di peringkat wilayah Sabah RUU anti-lompat parti belum lagi di bawa ke DUN, bermakna mereka bebas daripada perundangan tersebut,” katanya mengulas tindakan pemimpin BERSATU Sabah yang keluar parti hari ini.

Sementara itu, Kuok Tiung menyifatkan meninggalkan BERSATU mengukuhkan lagi kedudukan GRS sebagai blok politik tempatan di negeri ini.

Paling penting, katanya tindakan itu memastikan GRS mempunyai kuasa tawar-menawar dengan kerajaan persekutuan sejajar langkah Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang terbukti diterima baik rakyat Sarawak.

“Sejak setahun dua lalu juga menyaksikan suara-suara yang lebih lantang menyeru Sabah mempunyai sebuah platform parti politik tempatan sendiri,” katanya.

Beliau juga menyifatkan tindakan itu sebagai langkah strategik dan untuk faedah jangka panjang bagi memastikan politik Sabah tidak terus dibelenggu persengketaan politik Semenanjung.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Hajiji yang juga Pengerusi GRS, menjelaskan keputusan keluar parti itu dibuat sebulat suara selepas menimbangkan landskap politik Malaysia ketika ini, terutama di Sabah.

Beliau berkata, pihakya juga mengambil kira nasihat Yang di-Pertuan Agong mengenai pembentukan Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|