Kejohanan Futsal Piala Presiden MBS platform cungkil bakat tempatan

Kejohanan Futsal Piala Presiden MBS platform cungkil bakat tempatan

Kota Kinabalu: Penganjuran Kejohanan Futsal Piala Presiden Majlis Belia Sabah (MBS) pada awal bulan depan mampu menjadi platform untuk mengeratkan ukhuwah dalam kalangan belia tempatan.

Naib Presiden MBS merangkap Pengerusi Pelaksana Program, Osman Johari berkata, ia sekali gus dapat mempromosikan gaya hidup sihat pada masa kini.

“Futsal ini boleh dikatakan satu sukan fenomena di Sabah jadi kami di MBS cuba untuk mencari platform terbaik bagi meraikan belia di negeri ini.

“Melalui kejohanan ini, kita mampu mengumpulkan mereka di samping memberikan peluang untuk mereka berkenalan, mengeratkan silaturahim dan ukhuwah dengan kami di MBS,” katanya pada sidang media Kejohanan Futsal Piala Presiden MBS Kali Ke-9 2022 di Arena MBS, di sini, hari ini.

Osman berkata, setelah dua tahun tergendala akibat pandemik Covid-19, mereka kini kembali menganjurkan kejohanan itu yang juga antara acara tahunan terbesar di MBS.

Katanya, setakat ini, pihaknya menerima maklun balas menggalakkan daripada golongan belia yang telahpun menghantar borang penyertaan mereka.

“Sekarang ini, dalam senarai kami sudah ada lebih 40 pasukan bagi kategori lelaki dan hampir 20 pasukan bagi kategori wanita.

“Masih ada kekosongan slot, jadi kami ingin mengalu-alukan sekiranya masih ada lagi pasukan yang ingin turut serta boleh menghubungi kami terus,” katanya lagi.

Sementara itu, Setiausaha Agung MBS, Noorziean Mohd Tairudin berkata, penganjuran kejohanan ini juga bertujuan untuk mencungkil bakat-bakat tempatan yang tidak mempunyai platform untuk mengembangkan potensi mereka.

“Melihat kepada sejarah penganjuran kejohanan futsal tahun-tahun sebelum ini yang menyaksikan bukan calang-calang bakat dari kalangan anak muda.

“Jadi saya percaya kejohanan ini adalah satu platform untuk pemain-pemain di seluruh Sabah, terutama sekali mereka yang berbakat besar tetapi belum digilap,” katanya.

Dalam pada itu, setiap peserta dalam pasukan yang berjaya mendaftar layak mendapatkan jersi kejohanan secara percuma.

Kejohanan itu akan diadakan di Arena Futsal, Yayasan Sabah pada 1 dan 2 Oktober depan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|