Kecawa pertunangan diputuskan, lelaki rempuh kereta bekas tunang

Kecawa pertunangan diputuskan, lelaki rempuh kereta bekas tunang

Sandakan: Tidak puas hati diputuskan hubungan pertunangan, seorang lelaki bertindak luar batasan apabila merempuh kenderaan bekas tunangnya dalam kejadian di Bandar Indah, Batu 4, di sini, Jumaat lalu.

Kejadian berkenaan bagaimanapun sempat dirakam dalam satu rakaman berdurasi 30 saat sebelum tular di laman media sosial.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, menerusi rakaman berkenaan, suspek dikesan dengan sengaja melanggar sebuah kenderaan lain di kawasan parkir berkenaan.

Katanya, susulan itu, wanita berusia 20-an yang juga pemilik kenderaan jenis Perodua Myvi tampil membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Sandakan.

“Hasil siasatan, kejadian berlaku kira-kira jam 2 petang, apabila suspek berusia 20-an yang memandu Perodua Viva bertindak merempuh kereta mangsa.

“Mangsa adalah bekas tunang suspek dan ketika kejadian, mangsa tidak berada di dalam kenderaannya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, bertindak atas laporan, polis berjaya menahan suspek pada jam 11.15 malam, hari yang sama.

“Siasatan lanjut mendapati, motif sebenar kejadian dipercayai kerana suspek tidak berpuas hati dengan mangsa selepas memutuskan hubungan pertunangan mereka.

“Suspek kini ditahan reman untuk siasatan. Kes disiasat mengikut Sek 427 Kanun Keseksaan, ” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|